‘Sebagai ibu saya nak ada di sisi dia, tapi tak ada rezeki’, demikian luahan pelakon, Amyza Aznan apabila memaklumkan, dia berasa terkilan dek kerana tidak dapat menemani anaknya, Andre Mikhail Khairil Idzhar, 23, ketika menghembuskan nafas terkakhir pada Selasa.
Kata Amyza, ketiadaannya di sisi Andre Mikhail itu membuatkan dia sedikit ralat.
“Dia pergi ketika saya balik ke rumah untuk bersihkan diri. Baru sahaja sampai rumah dan selesai mandi, saya dimaklumkan tahap oksigennya menurun.
“Saya memang ralat. Sebagai ibu saya nak ada di sisi dia, tapi tak ada rezeki.
“Tapi mungkin dia tak mahu saya melihat saat dia pergi. Dia mungkin takut saya tak boleh ‘move on’,” katanya.

Mengulas lanjut, pelakon drama Teratak Kasih Salina itu menjelaskan, meskipun ramai yang menasihatinya agar menerima qada dan qadar serta meneruskan kehidupan seperti biasa, dia mengakui perkara itu bukan sesuatu yang mudah.
“Maaf kalau ada yang tak setuju. Orang kata kena terima qada dan qadar, kena ‘move on’ tapi dia adalah sebahagian daripada diri saya.
“Insya-Allah satu hari nanti saya akan bangkit. Saya tak akan biarkan diri saya terus begini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amyza juga menyifatkan Ramadan kali ini adalah yang paling berat untuknya kerana diuji dengan kesihatan anak-anaknya.
Terdahulu, pada Isnin, Amyza memaklumkan anaknya, Andre Mikhail telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada jam 10.15 malam selepas setahun berjuang melawan kanser paru-paru.
Dan, jenazah Allahyarham juga telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Selangor pada Selasa selepas disembahyangkan di Masjid Al-Khiriah AU3, Keramat.
Difahamkan, kira-kira 300 orang hadir terdiri daripada ahli keluarga, rakan selebriti serta teman rapat bagi memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Sumber: Ohbulan






