Mungkin tiada yang minat tanding jawatan Presiden PKR

Mungkin tiada yang minat tanding jawatan Presiden PKR


IPOH: Tiada siapa berminat untuk bertanding jawatan Presiden PKR. Demikian menurut pandangan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin.

Sebaliknya beliau berkata jawatan yang menjadi tumpuan ialah Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.

“Saya fikir jawatan Presiden tidak ada yang berminat untuk bertanding. Tetapi jawatan yang sedang hangat diperkatakan ialah jawatan Timbalan Presiden,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri untuk merasmikan majlis peluncuran Skim Rumah Ibu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang penolakan oleh beberapa pemimpin PKR terhadap kenyataannya sebelum ini yang berkata dua jawatan tertinggi parti itu sedang dirunding dan mungkin tidak dipertandingkan dalam pemilihan pada Mei ini.

Shamsul Iskandar dilihat mempertahankan kenyataannya sebelum ini, namun berkata sebagai sebuah parti yang mengamalkan sikap terbuka, setiap pandangan didengar.

“Saya sebut bahawa perkara ini sedang dirunding. Apabila disebut soal sedang dirunding bermaksud ada pandangan-pandangan menyatakan bahawa tidak perlu ada pertandingan di peringkat jawatan nombor satu dan dua,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, soal akan ada pertandingan atau tidak akan diputuskan kemudian.

“Sudah pasti kita hendak wujudkan satu suasana yang lebih baik, kondusif dan mesra supaya pemimpin-pemimpin parti dalam Keadilan, penyokong dan anggota dapat memilih satu pasukan kepimpinan yang kuat, lengkap serta ampuh untuk berdepan cabaran pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan Skim Rumah Ibu yang menawarkan pilihan kepada penduduk di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bukit Kinding di Tanjung Rambutan untuk memiliki rumah mampu milik yang merupakan antara hasrat kerajaan Madani. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top