sukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil sikap berwaspada apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dalam aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.
Pengendali JDT, Xisco Munoz berkata, skuad The City Boys boleh dianggap berbahaya dan mampu menggugat peluang JDT untuk memburu kemenangan supaya bekalan selesa dapat dibawa ke aksi kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa ini.
Jelas Munoz, saingan piala berprestij berbeza dengan aksi Liga Super tatkala pasukan yang layak sehingga ke separuh akhir akan beraksi bermati-matian untuk memburu kemenangan.
Menurutnya, skuad kendalian Risto Vidakovic pasti akan menggunakan kesempatan beraksi di laman mereka untuk menidakkan usaha JDT melakar kemenangan.
“Walaupun kami pernah tewaskan KL City FC 4-0 dalam saingan liga, cerita lama dan kami perlu membuat persiapan rapi untuk berdepan mereka di separuh akhir Piala Malaysia.
“Saya mahu pemain JDT bersedia untuk aksi lebih mencabar dan mereka harus kekalkan momentum dan meningkatkan intensiti permainan.
“Kami akan turun kesebelasan terbaik dan agak melegakan kerana semua pemain bebas daripada kecederaan termasuk pemain yang bersama Harimau Malaya baru-baru ini dan hanya Arif (Aiman Hanapi) masih dalam pemulihan kecederaan,” katanya.
Untuk rekod, KL City FC pernah melakar kejutan apabila menang 2-0 ke atas JDT pada aksi final Piala Malaysia 2021 menerusi jaringan Zhafri Yahya dan Paulo Josue.
© New Straits Times Press (M) Bhd






