Munoz Foto: Johor Southern Tigers
PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mahu memastikan debut dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACLE) merekodkan nota kejayaan pada aksi berdepan Buriram United di Chang Arena, pada Selasa.
Malah menurut Munoz, dia sudah pun merencana strategi ampuh bagi berdepan gergasi Liga Thailand itu dan membawa pulang mata daripada aksi Kumpulan A itu.
“Ia merupakan tugasan pertama saya di peringkat Asia dan saya akan mengambil tanggungjawab ini dengan penuh bersemangat kerana mahu memulakan kempen ACLE dengan langkah kanan.
“Apa yang akan ditampilkan apabila berdepan kelab dari Thailand itu merupakan perkara kedua, kerana yang diutamakan membuat persiapan lebih rapi terhadap skuad JDT bagi memperkemaskan corak permainan dan setiap pemain perlu tahu tanggungjawab masing-masing.
“Dengan kehadiran pemain baharu seperti Ager (Aketxe) dan Raul (Parra), saya tidak boleh katakan kedua-dua pemain itu sudah bersedia; sebaliknya mereka masih berusaha memahami falsafah permainan yang diterapkan pasukan ini dan walaupun sukar tetapi sebagai pemain profesional saya optimis ia mampu diatasi mereka,” katanya menjelang aksi menentang skuad Thunder Castle itu.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, skuad kendalian Osmar Loss itu menyingkirkan JDT hasil kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi pusingan 16 musim lalu.
Sementara itu Munoz meramalkan kedua-dua pasukan bakal mempamerkan aksi berintensiti tinggi dalam usaha memburu kemenangan.
Malah katanya, kedua-dua kelab juga sudah memahami corak serta gaya permainan masing-masing dan ia sekali gus menjanjikan aksi sengit kelak.
“Kami sedar akan beraksi di tempat lawan dan tahu ia agak sukar namun setiap pemain yang terpilih dalam kesebelasan utama akan sedia memberi persembahan terbaik dan misi ke Thailand inginkan kemenangan.
“Untuk itu apa yang kami perlu lakukan adalah berikan yang terbaik selain jangan gentar dengan kesebelasan yang diturunkan pasukan lawan.
“Justeru, pemain perlu tampil dengan agresif, konsisten serta memberikan fokus yang maksimum hingga ke wisel penamat,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali skuad Johor Darul Ta’zim, Xisco Munoz, mahu memastikan debut berjaya dalam ACLE berdepan Buriram United
- Munoz telah merencanakan strategi khusus untuk menghadapi gergasi Liga Thailand dan memenangi perlawanan
- Ini merupakan tugasan pertama Munoz di peringkat Asia dan dia bertekad untuk memulakan dengan langkah yang betul
- Munoz mengakui pemain baru seperti Ager Aketxe dan Raul Parra masih berusaha memahami falsafah permainan JDT
- Buriram United telah menyingkirkan JDT dengan kemenangan 1-0 dalam pertemuan sebelumnya di pusingan 16 musim lalu