Munoz puas hati prestasi JDT

Munoz puas hati prestasi JDT


Munoz. Foto Johor Southern Tigers

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz berpuas hati dengan prestasi skuad kendaliannya biarpun diikat tanpa jaringan ketika berdepan kelab Jepun, Machida Zelvia dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Munoz berkata, kesebelasan Harimau Selatan mempamerkan aksi berkualiti walaupun berdepan tempo serta intensiti perlawanan tinggi daripada pelawat.

“Bagi saya, kesemua pemain telah beraksi baik dan momentum ini perlu terus dikekalkan.

“Kita juga berada di landasan yang betul dan penting untuk kita belajar serta memperbaiki apa yang perlu bagi memberikan aksi yang lebih baik.

“Lagi pun, kami berdepan lawan yang kuat dan kami perlu terus mengekalkan intensiti untuk melakar kemenangan pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Mengulas mengenai ketiadaan tiga tonggak, Jon Irazabal, Hector Havel dan Joao Figueiredo yang digantung perlawanan, Munoz menyifatkan keadaan itu memberikan peluang kepadanya untuk menurunkan pemain-pemain sedia ada.

“Kita tahu, kesemua mereka merupakan pemain penting, tetapi kita juga percaya dengan kemampuan pemain lain.

“Tengok sahajalah malam ini (Selasa); mereka telah menunjukkan mentaliti dan kapasiti yang baik dengan memberikan aksi 100 peratus, dan itu memang sangat penting untuk pasukan,” ujarnya.

Sementara itu, Munoz berkata, dia tetap menghormati keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti kepada pelawat pada babak pertama.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu turut mengingatkan pemain agar sentiasa mengawal emosi dan tidak bertindak di luar kawalan.

“Apabila menentang pasukan yang bagus, kawalan emosi itu sangat penting. Inilah antara perkara yang perlu kita perbaiki.

“Apa pun, pasukan telah beraksi pada tahap yang baik malam ini dan kita akan terus memperbaiki situasi ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Ringkasan AI

  • Xisco Munoz berpuas hati dengan prestasi JDT walau seri tanpa gol dengan Machida Zelvia
  • Munoz menilai skuadnya mempamerkan aksi berkualiti menghadapi intensiti perlawanan tinggi
  • Ketiadaan tiga pemain utama memberi peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan
  • Munoz menghormati keputusan pengadil yang memberikan penalti kepada lawan dan menekankan pentingnya kawalan emosi
  • Menurut Munoz, penting untuk JDT belajar dan memperbaiki permainan untuk kemenangan masa depan



Source link

OR

Scroll to Top