nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kanak-kanak termasuk murid sekolah berusia bawah 12 tahun perlu diiringi ibu atau bapa yang mempunyai kerakyatan Malaysia setiap kali keluar masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, begitu juga dengan pelajar Malaysia yang tinggal di Golok dan akan melalui ICQS untuk ke sekolah di Rantau Panjang bermula 1 Disember ini.
Bagaimanapun katanya, mereka yang berusia 13 tahun ke atas tidak perlu lagi diiringi ibu atau bapa memandangkan sudah mampu mempunyai pas sempadan sendiri.
“Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah iaitu warga Malaysia, ibu atau bapa mereka yang mempunyai kerakyatan perlu membuat pas sempadan dan nama anaknya akan dimasukkan dalam pas sempadan penjaga mereka.
“Jadi bermula 1 Disember ini bagi murid yang tinggal di Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang, bergantung kepada permohonan pas sempadan di bawah ibu atau bapa (warga Malaysia), pelajar berkenaan perlu diiringi ibu atau bapa setiap kali keluar masuk melalui ICQS,” katanya ketika dihubungi.
Susulan larangan rentas sempadan bermula Disember, beliau berkata, permohonan terhadap pas sempadan tidak menunjukkan peningkatan ketara.
“Mengikut semakan data permohonan, tidak ada peningkatan lagi untuk permohonan pas sempadan, masih sekitar 300 hingga 400 sehari di semua pejabat imigresen.
“Namun kita terima banyak juga pertanyaan untuk prosedur permohonan pasport antarabangsa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 303 murid dan pelajar tinggal di Thailand yang menggunakan pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang diberi empat pilihan sebelum pelaksanaan larangan rentas sempadan bermula 1 Disember ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, empat pendekatan berkenaan adalah pelajar disarankan tinggal di asrama atau menumpang asrama berdekatan sekiranya sekolah berkenaan penuh atau tiada kemudahan itu.
Katanya, selain itu, pelajar juga disarankan menyewa rumah di sekitar sekolah dan pilihan terakhir mereka perlu menggunakan ICQS.
© New Straits Times Press (M) Bhd