am@hmetro.com.my
Kuantan: Dua murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan menjulang nama negara selepas berjaya membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada pertandingan Kontes Robot Nusantara, Jakarta, Indonesia, Selasa lalu.
Peserta tahun lima, Farish Abdullah berjaya meraih pingat emas dalam kategori Bricks Speed, Robot Creative (perak) dan Humanoid (perak), manakala rakannya, Matthew Jambai Karong, 12, mendapat pingat perak dalam kategori Robot Creative dan gangsa kategori Kinder Mission.
Guru Besar SK Permatang Keledang Ahmad Zaki Zainudin berkata, Januari lalu tiga murid Orang Asli turut meraih pingat emas kategori Robotik Inovasi pada International Robot Olympiad ke-26 2024/2025 di Busan, Korea Selatan.
Katanya, dua kejayaan tertinggi dicapai di pentas antarabangsa tahun ini di luar jangkaan dan membanggakan semua pihak hasil sokongan guru serta keluarga murid yang terbabit.
Menurutnya, pertandingan di Jakarta kali ini menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta bersaing dalam pelbagai kategori mewakili pasukan Indonesia, Malaysia, Thailand, Laos dan Vietnam.
“Kejayaan kali ini membuktikan bakat dan kemampuan murid Orang Asli yang belajar di SK Permatang Keledang setanding dengan murid di sekolah lain. Sokongan dan usaha gigih serta komitmen tenaga pengajar dalam mengasah kemahiran sains dan teknologi begitu tinggi.
“Pertandingan menugaskan peserta mencipta dan mempersembahkan solusi robototik secara individu dan setiap masalah perlu diselesaikan dengan berkesan,” katanya, dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, pencapaian kali ini sangat membanggakan seterusnya berjaya mengangkat nama sekolah serta negara di pentas antarabangsa.
Sebelum ini kita pernah tiga kali bertanding di China dan Korea Selatan, namun gagal membawa pulang sebarang pingat.
Ahmad Zaki berkata, semoga kejayaan ini memberi inspirasi pada lebih ramai pelajar dan guru untuk terus berinovasi, berusaha dan mencapai kecemerlangan dalam bidang yang lebih luas.
“Pihak sekolah akan terus berusaha menggilap kebolehan murid Orang Asli di kawasan Kampung Permatang Keledang dan sekitarnya untuk mereka berada sebaris dengan murid di sekolah lain.
“Pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan dalam memajukan murid di peringkat sekolah rendah akan digunakan sepenuhnya dalam memastikan kejayaan dalam pendidikan dapat dicapai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd