am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hampir pasti bakal menggantikan Tun Juhar Mahiruddin sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Ia berdasarkan sepucuk surat kepada Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bertarikh hari ini yang meminta persiapan dibuat bagi menyambut ketibaan Musa di Terminal Dua KKIA, pada Rabu ini.
Tarikh itu sejajar Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah yang dikatakan diadakan esok, 9.30 pagi hingga 11 pagi di Singgahsana Kecil, Istana Negara.
Tarikh istiadat itu tersebar di media sosial minggu lalu serentak dengan khabar angin pemilihan Musa sebagai TYT yang baharu bagi menggantikan Tun Juhar.
Surat dari Bahagian Istiadat dan Protokol, Jabatan Ketua Menteri Sabah hari ini bagaimanapun tidak menyebut jawatan Musa, namun menulis gelaran ‘Tun’ di hadapan namanya dalam perkara surat rasmi itu.
Perkara surat itu menyatakan Majlis Ketibaan Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, manakala kandungannya antara lain menyebut ketibaan Musa di Kota Kinabalu, Rabu ini.
Surat itu yang turut tersebar dalam media sosial hari ini, menyebut ketibaan Musa dengan pesawat khas di Bilik Orang Kenamaan, Terminal Dua KKIA pada 11.30 pagi.
Acara menyambut ketibaan Musa di Terminal Dua KKIA itu diperkuatkan lagi dengan penangguhan latihan kecemasan Ex-Gegar KKIA yang sepatutnya diadakan esok bagi mengelak gangguan terhadap majlis berkenaan.
Sebelum ini, nama Musa disebut-sebut sebagai bakal TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu menggantikan Tun Juhar yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011.
Musa, 73, yang menjadi Ketua Menteri Sabah paling lama bermula pada 2003 hingga 2018, sebelum ini adalah antara nama yang disebut-sebut sebagai calon TYT baharu Sabah.
Selain beliau, beberapa nama turut dispekulasi atau dicadang sebagai bakal TYT baharu Sabah, termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum.
Sementara itu, Tun Juhar menjadi TYT paling lama berkhidmat, iaitu 13 tahun selepas dilantik ke jawatan tertinggi Sabah itu pada 1 Januari 2011.
Beliau juga adalah TYT pertama yang memegang jawatan itu lebih dua penggal berbanding TYT sebelumnya yang hanya dibenarkan berkhidmat dua penggal atau lapan tahun.
Ia selepas pindaan Perlembagaan Negeri Sabah yang dibuat ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Warisan pada 2018 berhubung tempoh penggal perkhidmatan TYT.
© New Straits Times Press (M) Bhd