KUALA LUMPUR: Musibah yang melanda seluruh dunia dewasa ini termasuk berlakunua kemusnahan moral dan akhlak akibat ideologi Barat adalah salah satu daripada tanda jelas akhir zaman.
Presiden Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz), Ahmad Dusuki Abd Rani sehubungan itu menyeru umat Islam agar kembali memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.
Jelasnya, keimanan teguh amat penting dalam menghadapi pelbagai ujian yang hakikatnya datang dengan izin Allah SWT.
“Rentetan daripada musibah banjir yang sedang melanda khususnya di Pantai Timur, ada dalam kalangan kita yang hadapi kemusnahan harta benda, ternakan dan tanaman yang menjadi sumber rezeki.
“(Semua itu) telah dihanyutkan oleh air banjir dalam keadaan sekelip mata, serta kehilangan jiwa-jiwa yang dikasihi.
“Ada juga di kalangan kita yang tidak diuji dengan banjir namun leka dengan dunia, lalu tiada rasa untuk membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Justeru, beliau berharap agar setiap individu memandang ujian ini sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperkukuhkan keimanan.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran, ketabahan dan ketenangan bagi menghadapi ujian ini, serta memberikan keringanan dan juga kemudahan dalam setiap urusan.
“Selain, menetapkan keimanan dan kekuatan jiwa, serta memberkati segala amal perbuatan kita. Amin,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2024