Yoro (tengah) yakin keupayaan Manchester Untied untuk tampil lebih baik musim ini. FOTO: AFP
PERTAHANAN Manchester United, Leny Yoro menegaskan skuad The Red Devils turun dengan misi ‘balas dendam’ selepas melalui musim paling buruk dalam tempoh lebih 50 tahun.
United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga ke-15 iaitu kedudukan terburuk mereka sejak tersingkir ke divisyen kedua pada tahun 1974.
Bagaimanapun, skuad kendalian Ruben Amorim menunjukkan prestasi positif dalam siri pramusim di Amerika Syarikat selepas meraih dua kemenangan dan satu keputusan seri menentang West Ham, Bournemouth dan Everton.
Para pemain serta barisan kejurulatihan kini telah pulang ke Manchester untuk melengkapkan persiapan terakhir menjelang sepak mula musim baharu EPL.
Menjelang aksi pertama menentang Arsenal di Old Trafford pada 17 Ogos ini, Yoro yakin bahawa musim kali ini tidak akan mengulangi kekecewaan tahun lalu.
“Apabila anda bermain untuk Manchester United, anda perlu ada mentaliti untuk jadi versi terbaik diri sendiri.
“Saya rasa apa yang berlaku musim lepas adalah satu kesilapan besar buat kami. Sebagai Manchester United, kami tidak boleh berada di kedudukan itu. Penyokong tahu, semua orang tahu, dan kami juga sedar akan hal ini.
“Musim ini akan jadi berbeza. Ia seperti misi balas dendam buat kami. Kami perlu beraksi dengan lebih baik,” katanya.
United telah berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo pada jendela perpindahan kali ini sekali gus meletakkan tekanan tinggi terhadap prestasi awal pasukan.
Pengendali United, Amorim juga dijangka berdepan tumpuan besar selepas permulaan tugas yang tidak mudah.
Yoro yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan sejak menyertai United musim panas lalu turut menyedari akan wujudnya kritikan daripada pihak luar, namun yakin skuad sedia ada mampu menepis segala gangguan.
“Kami adalah kelab besar. Sudah tentu ada ramai yang mahu lihat kami gagal, dan kami sedar tentang itu. Tapi masih ramai yang mahu lihat kami berjaya. Kami hanya mahu fokus kepada penyokong kami.
“Kami tak peduli apa yang orang luar kata, tetapi saya faham sebab kami memang tak beraksi dengan baik. Musim ini, saya harap ia akan jadi berbeza. Kami tak perlu dengar semua itu. Cukup sekadar fokus pada diri sendiri,” katanya.