Milan: Musim yang bermula penuh harapan buat Inter Milan akhirnya berakhir dengan kekecewaan besar apabila impian menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah lebur selepas dibelasah Paris Saint-Germain (PSG) 5-0, awal pagi tadi.
Kekalahan memeritkan itu menutup kempen yang menyaksikan skuad kendalian Simone Inzaghi sekadar menamatkan saingan Serie A di tangga kedua, satu mata di belakang juara, Napoli.
Lebih menyakitkan, Inter turut dikecewakan oleh seteru setempat, AC Milan, di pentas separuh akhir Coppa Italia apabila tewas dengan agregat 4-1, menambah luka musim yang tampak menjanjikan pada awalnya.
“Sakit hati kalah macam ini. Memang perit. Kami bangga dengan pasukan, tapi jujur saya kata, kami tak layak kalah seteruk ini. Tapi itulah kenyataannya,” kata penyokong Inter, Frederico, kepada Reuters di luar Stadium Allianz Arena, Munich.
Di Milan, seramai 51,000 penyokong membanjiri Stadium San Siro untuk menyaksikan aksi final menerusi skrin besar, namun ramai mula meninggalkan stadium apabila jelas PSG akan meraih kemenangan mudah.
Sebahagian kecil penyokong tetap bertahan hingga wisel penamat untuk memberikan tepukan penghargaan kepada PSG yang menjulang trofi pertama Liga Juara-Juara dalam sejarah kelab itu.
Tangisan, wajah muram dan suasana pilu jelas terpancar dalam kalangan penyokong Nerazzurri iaitu malam yang sepatutnya menjadi detik bersejarah bertukar menjadi mimpi ngeri buat mereka.
“Semuanya tak menjadi. Apa yang berlaku malam ini hanya Inzaghi dan pasukan yang tahu. Kami pun tak faham,” kata penyokong lain, Davide Radice, yang kelihatan murung ketika meninggalkan San Siro.
Musim ini seharusnya menjadi langkah besar buat Inter untuk kembali menggegar Eropah selepas kemunculan di final 2023, namun kekalahan ini menimbulkan persoalan besar terhadap hala tuju kelab.
Dengan Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat bakal berlangsung bulan depan, Inter kini perlu bangkit segera daripada luka ini namun segalanya tampak semakin sukar selepas episod menyayat hati di Munich.
© New Straits Times Press (M) Bhd