‘Mustahil saya tinggalkan United sekarang’

‘Mustahil saya tinggalkan United sekarang’


MANCHESTER United tidak membuka ruang buat Harry Maguire meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas ini.

Malah pertahanan berusia 32 tahun itu juga sendiri menyifatkannya bukan masa sesuai untuk meninggalkan kelab berpengaruh dalam saingan liga Inggeris berkenaan.

Maguire mendedahkan pihak pengurusan kelab sudah pun mengaktifkan klausa lanjutan kontraknya sejak Januari lalu, sekali gus mengekalkannya semusim lagi ketika pengendali, Ruben Amorim menekankan skuadnya ketandusan pemimpin.

Menurut Maguire, terdapat kelab yang cuba mendapatkan khidmatnya pada musim panas ini, namun hierarki United pantas menutup pintu rundingan.

“Musim lalu, klausa itu memang di tangan kelab. Mereka aktifkan tanpa berbincang dengan saya. Dan kali ini, kelab buat keputusan tegas bahawa saya tak boleh tinggalkan pasukan dalam apa jua keadaan. Beberapa kelab cuba bertanya, tapi jawapan United jelas,” katanya.

Kontrak Maguire kini bakal tamat hujung musim depan, membolehkannya berbincang dengan kelab lain bermula Januari nanti.

Bekas kapten United itu sebelum ini menolak peluang ke West Ham meskipun United bersetuju menerima bidaan dua tahun lalu.

Sejak menyertai Red Devils dari Leicester City pada 2019 dengan yuran £80 juta (RM455 juta), Maguire kekal beraksi meskipun sering menjadi tumpuan kritikan.

Namun, katanya suasana kelab kini lebih meyakinkan selepas Sir Jim Ratcliffe menjadi pemegang saham minoriti pada hujung 2023.

“Memang saya ada sesuatu dalam fikiran tentang masa depan, tetapi saya tak mahu umumkannya sekarang. United kelab besar, dan anda pasti silap jika mahu keluar secepat mungkin.

“Dengan pengurusan baharu seperti (pengarah teknikal) Jason Wilcox dan jurulatih, saya rasa hala tuju kelab makin jelas. Sejak saya tiba enam tahun lalu hingga sekarang, struktur dan organisasi di sebalik pasukan jauh lebih baik,” ujarnya.

United memulakan musim ini dengan kekalahan 0-1 kepada Arsenal, selepas melalui kempen liga terburuk sejak 1973/74 musim lalu.

Namun Maguire tetap optimis, Red Devils kini berada di landasan lebih kukuh berbanding sebelum ini.

 

LIGA PERDANA INGGERIS

SABTU (23 OGOS)

West Ham United lwn Chelsea, 3 pagi

Manchester City lwn Tottenham Hotspur, 7.30 malam

Bournemouth lwn Wolverhampton, 10 malam

Burnley lwn Sunderland, 10 malam

Brentford lwn Aston Villa, 10 malam

AHAD (24 OGOS)

Arsenal lwn Leeds United, 12.30 tengah malam

Crystal Palace lwn Nottingham Forest, 9 malam

Everton lwn Brighton, 9 malam

Fulham lwn Manchester United, 11.30 malam

SELASA (26 OGOS)

Newcastle United lwn Liverpool, 3 pagi

 

 



Source link

OR

Scroll to Top