PENGADIL ‘bikin panas’ atau ‘malaikat’ di final Piala Malaysia edisi ke-98?
Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, berhubung pemilihan Razlan Joffri Ali sebagai pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/2025 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pemilihan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat bola sepak tanah air susulan beberapa keputusan kontroversi sepanjang perlawanan menemukan juara bertahan 11 kali berturut-turut Liga Super bimbingan Hector Bidoglio berkenaan menentang anak buah Fandi Ahmad yang mengakhiri cabaran di kedudukan kelapan liga musim ini.
Menurut Pekan, pemilihan pengadil untuk perlawanan akhir seharusnya dibuat berdasarkan merit dan prestasi, selaras dengan amalan dalam mana-mana kejohanan bola sepak termasuk Piala Dunia.
“Malangnya, pengadil yang dipilih kali ini pernah terpalit dengan beberapa kontroversi dan pernah digantung sebelum ini. Banyak keputusannya yang meragukan, termasuk kerap menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tertentu dalam perlawanan yang diadilinya,” katanya kepada Sukan Sinar, pada Ahad.
Dalam aksi final tersebut, Razlan Joffri melayangkan dua kad kuning kepada pemain Pahang, Sergio Aguero, menyebabkan pemain naturalisasi itu dilayangkan kad merah dan diarah keluar padang seawal minit ke-35.
Lebih mengejutkan, beliau turut menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT pada awal separuh masa kedua selepas meneliti rakaman sistem Video Bantuan Pengadil (VAR), membolehkan Bergson da Silva menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.
Tidak terhenti di situ, Razlan Joffri turut melayangkan kad merah kepada pertahanan JDT, Park Jun-heong, selepas pemain itu mengutip kad kuning kedua pada minit ke-57.
Sebagai rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah mengenakan tindakan terhadap Razlan Joffri kerana membuat keputusan yang tidak tepat dalam satu perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, November lalu.
Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM mendapati beliau dan pengadil VAR ketika itu gagal membuat keputusan tepat mengikut undang-undang permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), khususnya dalam insiden melibatkan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dan Perak FC, Tommy Mawat Bada.
Dalam pada itu, Fandi, ketika ditanya mengenai mutu pengadilan selepas perlawanan, enggan mengulas lanjut sebaliknya hanya berkata, “Saya tak pasti… Awak boleh lihat sendiri perlawanan tadi.”
Sementara itu, Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM turut mempertikaikan insiden pemberian sepakan penalti kepada penyandang juara tersebut dalam perlawanan berkenaan.
“Kita tidak pasti apa kaitan di sebalik insiden ini. Sudah pastilah keputusan untuk memberikan penalti sekali lagi mengejutkan pemerhati dan peminat bola sepak yang menyaksikan betapa tidak wajar hukuman itu dijatuhkan.
“Ia menimbulkan semula pelbagai persoalan dan kontroversi berkaitan integriti pengadil ini. Tidakkah ada pengadil lain yang lebih layak, memiliki rekod bersih, dan lebih berwibawa untuk diangkat mengadili perlawanan akhir yang berprestij ini?” soal beliau.
Tambah beliau, Harimau Selatan juga juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super sebelum itu sememangnya pasukan hebat yang layak bergelar juara, namun beberapa keputusan pengadil di atas padang hanya mencemarkan reputasi kelab tersebut.
“JDT tidak memerlukan bantuan sebegini untuk bergelar juara. Mereka cukup kuat. Malangnya, gara-gara kontroversi pengadilan, imej pasukan sehebat JDT sedikit tercalar di mata pemerhati dan peminat. Ini soal maruah dan kredibiliti pengadilan dalam bola sepak negara,” ujarnya.