KUALA LUMPUR: Persidangan Impak Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (MySDG 2025) platform penting memperkukuh tindakan kolektif ke arah pembangunan yang lebih inklusif dan saksama dalam mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, rakyat merupakan tunjang kepada Agenda 2030 bagi pembangunan mampan dengan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.
“Sebagai sebuah negara yang masih menuju ke arah status berpendapatan tinggi, pendidikan kekal sebagai alat paling berkuasa untuk memecahkan kitaran kemiskinan serta memperkasa individu agar mencapai potensi sepenuhnya.
“Akses kepada pendidikan berkualiti mesti menjadi hak setiap anak, tanpa mengira latar belakang atau keadaan hidup. Bagi mereka yang menghadapi kesempitan kewangan, pendidikan membuka pintu kepada peluang dan berdikari.
“Namun begitu, kita juga harus ingat bahawa pendidikan sejati bukan sekadar penyampaian ilmu, tetapi juga pembentukan sahsiah, empati dan integriti serta nilai-nilai yang membentuk kompas moral bagi sebuah masyarakat yang adil dan penyayang,” titah baginda.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan MySDG, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, misi yayasan itu adalah untuk memacu kerjasama menyeluruh di peringkat nasional bagi mencapai matlamat tersebut.
“SDG bukan sekadar aspirasi global, namun ia merupakan pelan hala tuju Malaysia ke arah masa depan yang lebih adil dan berdaya tahan.
“Persidangan ini adalah seruan untuk bertindak agar kita bergerak lebih pantas, bekerja dengan lebih bijak, dan memastikan setiap rakyat Malaysia menikmati kemajuan negara,” katanya.
Sehingga kini, yayasan itu menyokong 40 projek berimpak tinggi, termasuk 20 projek di bawah Dana Amanah SDG Malaysia-PBB, melalui kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia.
Wahid berkata, usaha yayasan merangkumi lima teras utama SDG iaitu Manusia, Planet, Kemakmuran, Keamanan dan Perkongsian.
“Ini dapat dilihat daripada usaha memperkasakan komuniti Orang Asal di Pahang dan Sabah untuk meningkatkan sumber pendapatan melalui akses kepada pasaran yang adil, sehinggalah memperluas perkhidmatan kesihatan bagi golongan pelarian, serta menyediakan peluang pendidikan kepada kanak-kanak tanpa dokumen sah.
“Melalui inisiatif-inisiatif ini, kami berhasrat memberikan perubahan bermakna dalam kehidupan hampir 30,000 orang,” ujarnya. – UTUSAN





