georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Nadeera, 32, menyangkal dakwaan dia mengambil ubat-ubatan, suntikan dan melakukan pembedahan untuk menurunkan berat badan dengan segera sehingga tubuhnya susut secara drastik.
Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini berkata, dia sebenarnya mengamalkan diet sihat dengan mengurangkan pengambilan gula yang sebenarnya mengambil masa panjang untuk kurus.
“Sebenarnya sudah berapa bulan saya cuba menurunkan berat badan dengan cara diet dan tidak mengambil gula untuk beberapa bulan. Ia mengambil masa enam hingga lapan bulan juga turun 10 kilogram (kg).
“Saya rasa tidaklah berapa drastik. Ambil masa sekitar enam hingga lapan bulan untuk saya menurunkan berat badan saya dari 52kg sampailah ke berat badan saya sekarang iaitu sekitar 42kg.
“Saya tak buat pembedahan atau ambil ubat kurus. Janganlah buat benda macam itu, baiklah kita menjaga kesihatan dan makan secara sihat,” katanya.
Penyanyi lagu Bukan Lagi Kita itu mengakui penurunan berat badannya memberi banyak kesan positif. Bukan saja semakin tampil yakin, bahkan dari sudut nyanyian pun sangat membantu.
“Bukan saja bertenaga tapi kita lebih yakin untuk berdepan dengan orang ramai. Macam saya, sering dikaitkan dengan kontroversi sebelum ini, tapi sekarang ini Alhamdulillah saya lebih berkeyakinan.
“Dari segi nyanyian pun lebih senang untuk saya mengambil nafas dan sebagainya. Saya mahu menjaga kesihatan sebab saya rendah, bila badan saya besar tak bagus untuk kesihatan,” katanya.
Nadeera turut berkongsi berdepan kesulitan pernafasan disebabkan berat badannya ketika membuat rakaman untuk sebuah lagu sebelum ini.
“Satu hari saya ada rakaman untuk single saya, dan saya perasan pernafasan saya dalam nyanyian itu tidak sampai, orang kata macam mengah.
“Jadi, saya fikir tak boleh jadi, sebab itu saya mahu menurunkan berat badan. Kalau bab menyindir, saya tak ambil pusing pun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd