'Nadeera sumber inspirasi'

'Nadeera sumber inspirasi'



am@hmetro.com.my

NAMA penyanyi, Syafeek Ikhwan kini mencuri perhatian ramai selepas berjaya melangkah ke peringkat akhir uji bakat dalam program nyanyian terkemuka, Big Stage.

Menurut Syafeek, dia menyertai program nyanyian terbabit untuk mengembangkan kerjaya seni serta memperkenalkan dirinya kepada lebih ramai peminat muzik tanah air.

Walaupun ada komen negatif daripada segelintir pihak yang meragui kemampuannya dalam bidang seni, Syafeek tetap teguh dengan prinsipnya untuk percaya pada bakat yang dimilikinya.

Syafeek berkata, dia melihat perjalanan seni rakan seperjuangannya seperti penyanyi popular, Nadeera sebagai sumber inspirasinya dalam bidang nyanyian.

“Nadeera juga pernah mencuba nasib dalam program Big Stage sebelum berjaya mengukir nama dalam dunia seni tanah air ketika ini.

“Saya percaya tiada salahnya untuk kita terus berusaha kerana siapa tahu, rezeki mungkin berpihak kepada saya sekiranya diberi peluang menyertai program seperti Big Stage,” katanya.

Berkongsi mengenai Big Stage, Syafeek berkata, dia sudah bersedia untuk memberi komitmen sepenuhnya sekiranya terpilih dalam program Big Stage nanti.

“Saya sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik pada program itu nanti. Saya harap diberi peluang untuk membuktikan kemampuan dan terus berkembang dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Dengan pencapaian yang membanggakan dan semangat juang yang tidak pernah pudar, Syafeek berkata, dia akan terus berusaha untuk menggapai impiannya itu.

“Siapa tahu, peluang di Big Stage mungkin menjadi langkah seterusnya dalam perjalanan seni yang lebih cemerlang,” katanya.

Jika nak diikutkan penyanyi lagu Penunggu ini bukanlah nama asing dalam industri seni tanah air.

Syafeek sudah beberapa kali membuktikan kemampuannya dalam bidang seni sebelum ini.

Antaranya, Syafeek pernah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila muncul sebagai juara dalam pertandingan i-Sing World di Paris, Perancis pada 2018.

Dalam pertandingan itu, Syafeek juga berjaya membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan tiket penerbangan ke Sepanyol untuk persembahan seterusnya.

Kejayaan ini mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi berbakat yang mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Selain itu, pada 2021, Syafeek berjaya menjuarai program Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) bersama pasangan duetnya, Zazo.

Walaupun banyak cabaran yang dilalui, termasuk terperangkap akibat banjir dan kekangan masa, mereka tetap berusaha keras dan berjaya meraih kemenangan.

Kejayaan itu menambahkan lagi keyakinan Syafeek untuk terus berjuang dalam industri seni yang penuh cabaran ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top