Tokyo: Nafissatou Thiam menuduh Persekutuan Olahraga Belgium mengganggu persiapannya ke Kejohanan Dunia, namun badan induk itu pula menuduh juara Olimpik tiga kali itu berbohong sekali gus mencetuskan pertelingkahan panas beberapa hari sebelum dia memulakan misi memburu gelaran dunia heptatlon buat kali ketiga.
Dalam satu pendedahan luar biasa pada semalam, Nafissatou yang menitiskan air mata mendakwa dirinya dilarang menyertai kem latihan persediaan pasukan di Jepun selepas enggan menandatangani kod etika persekutuan.
Namun, presiden persekutuan menegaskan terdapat bukti bertulis yang menunjukkan atlet berusia 31 tahun itu tidak bercakap benar.
“Lima hari sebelum berlepas, saya menerima emel daripada persekutuan yang menyatakan kerana saya tidak menandatangani kod etika, kem pra-kejohanan saya tidak disahkan dan tiada tempahan dibuat untuk saya.
“Saya terpaksa mencari penyelesaian saat akhir. Anda perlukan lokasi latihan, gimnasium, tempat tidur. Lima hari sebelum berlepas di bandar seperti Tokyo, itu bukan sesuatu yang mudah, ditambah pula aspek kewangan. Ia memberi kesan negatif. Saya tidak faham, ia sangat mengecewakan,” kata Nafissatou.
Nafissatou enggan menandatangani kod etika persekutuan kerana wujud pertindihan penaja peribadinya dengan penaja pasukan Belgium. Dia berkata keputusan melarangnya menyertai kem itu menyebabkan persiapannya tidak berjalan dalam keadaan ideal.
Ahli fisioterapinya juga tidak diberikan akreditasi. “Saya rasa diperlakukan tidak adil, dan itu tidak wajar. Saya cuba kekal positif, profesional dan melupakan semua ini, tetapi ia jelas memberi kesan negatif.”
Sebagai maklum balas, persekutuan Belgium melalui presidennya, Jessica Mayon menafikan dakwaan Nafissatou dengan mendakwa dia berbohong.
“Ia sama sekali tidak benar bahawa dia tidak dialu-alukan,” kata Jessica kepada beberapa media Belgium di Stadium Nasional Tokyo.
“Saya ada bukti bertulis bahawa apa yang dia katakan itu tidak benar. Itu satu pembohongan. Dia menerima emel yang menjanjikan seseorang daripada persekutuan bersedia membantu segala keperluannya di kem latihan. Sudah tentu dia dialu-alukan di sana.”
Jessica turut menjelaskan Nafissatou menerima sokongan kewangan seperti mana semua ahli pasukan lain.
“Saya rasa sayang sekali dia bertindak sebegini. Ya, ada yang kurang senang kerana dia enggan menandatangani kod etika. Tetapi dia kini berada di Kejohanan Dunia, dan kami sentiasa melindunginya,” kata Jessica.
© New Straits Times Press (M) Bhd






