Nafuzi puas hati pemilihan Harimau Muda

Nafuzi puas hati pemilihan Harimau Muda


Nafuzi Zain. Foto: Sinar Harian

PENGENDALI skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain, menyifatkan penganjuran The Elite Games selama tiga hari berjaya mencapai objektifnya dalam menilai potensi pemain untuk disenaraikan ke dalam pasukan Harimau Muda.

Menurut Nafuzi, sesi tersebut yang berlangsung dalam tempoh singkat memberikan ruang terbaik kepada barisan kejurulatihan untuk menilai tahap semasa pemain serta mencari kombinasi sesuai sebelum Harimau Muda mengharungi kem latihan pusat menjelang kejohanan Piala Mandiri ASEAN B-23 2025 di Jakarta, Indonesia, pada 15 Julai depan.

“Saya amat berpuas hati dengan Elite Games ini. Ia sepatutnya diteruskan setiap bulan kerana ia sangat berguna untuk kita menilai pemain secara berkala. Kami dapat melihat kualiti pemain secara menyeluruh, termasuk yang belum pernah beraksi di pentas antarabangsa.

“Dalam tempoh tiga hari ini, kami berjaya memantau pemain dalam latihan serta perlawanan simulasi, dan pemain-pemain menunjukkan kualiti terbaik untuk dibawa ke Indonesia,” kata Nafuzi ketika ditemui media selepas sesi penilaian tertutup di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata pemilihan 30 pemain ke kem latihan pusat yang akan diumumkan pada Rabu melibatkan kombinasi muka baharu dan pemain yang beraksi di Liga Super.

Namun untuk Elite Games, beliau memberi keutamaan kepada pemain-pemain pemain yang belum diberi peluang sebelum ini.

“Kita tidak panggil semua pemain yang bermain di Liga Super kerana saya sudah kenal kemampuan mereka. Jadi kali ini, kita beri peluang kepada pemain lain untuk dinilai. Daripada senarai Elite Games ini, mungkin 60 peratus akan dipanggil Rabu,” jelasnya.

Mengenai tempoh latihan pusat, Nafuzi menjelaskan ia akan bermula pada 1 Julai hingga 12 Julai sebelum skuad bertolak ke Jakarta pada 13 Julai untuk kejuaraan yang menyaksikan Harimau Muda diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina, dan Brunei.

“Setakat ini perancangan adalah untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super sepanjang kem latihan pusat berlangsung. Kita tengah dalam proses muktamadkan semua perlawanan,” jelasnya.



Source link

OR

Scroll to Top