Nafuzi sah tinggalkan skuad Sang Kenari

Nafuzi sah tinggalkan skuad Sang Kenari


Nafuzi sah meletakkan jawatan sebagai pengendali KDA FC pada Sabtu. Foto KDA FC

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA), Nafuzi Zain meletakkan jawatan pada Sabtu dan permohonannya itu telah diterima oleh pihak pengurusan kelab tersebut.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin berkata, permohonan Nafuzi telah diperhalusi dengan mendalam oleh pihak pemilik, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kelab.

Menurutnya, sejak menyertai pasukan pada Disember 2022, Nafuzi telah menunjukkan mutu kerja yang sangat tinggi serta komitmen yang jitu.

“Pencapaian beliau termasuk tempat keempat Liga Super 2023 dan peringkat Separuh Akhir Piala FA 2024.

“KDA FC mengucapkan jutaan terima kasih atas khidmat bakti beliau dan mendoakan kejayaan dalam perjalanan kariernya selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Shahrul berkata, pengurusan KDA FC turut mengumumkan Victor Andrag dilantik sebagai Ketua Jurulatih Interim pasukan Liga Super Kedah bermula pada Ahad.

Jelasnya, kelab akan menilai dan membuat keputusan mengenai calon Ketua Jurulatih tetap berdasarkan keperluan pasukan untuk bersaing dalam baki Liga Malaysia 2024-2025.

Pada Khamis lalu, media melaporkan khabar angin melibatkan pengendali tersebut bakal meninggalkan skuad Sang Kenari dan dikatakan akan menyertai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai pengendali skuad muda negara.

Bagaimanapun, FAM dan juga KDA FC tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut setakat ini.

Nafuzi yang terkenal dengan istilah ‘Nafuzi Ball’ yang diberikan oleh pengulas dan penyokong bola sepak sebelum ini mula menyertai KDA FC pada 2023 selepas meninggalkan Terengganu FC.

Namun kehadiran pengendali kelahiran Kelantan itu ke Alor Setar untuk mengembalikan kegemilangan Hijau Kuning tidak kesampaian apabila dilanda masalah kewangan.



Source link

OR

Scroll to Top