sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain mengakui skuad negara berdepan laluan sukar apabila diundi bersama Thailand, Lubnan dan Mongolia dalam Kumpulan F kelayakan Piala Asia B-23 menentang Lubnan di Stadium Thammasat, Pathum Thani, petang esok.
Katanya, aksi pertama bertemu Lubnan bukan mudah dan beliau menuntut pemain berikan sepenuh komitmen.
“Saya menghormati semua pasukan dalam kumpulan ini. Bagi saya, ia kumpulan yang sukar kerana tiga-tiga lawan adalah pasukan yang sangat bagus.
“Tapi kami datang dengan semangat untuk beri segalanya demi layak ke pusingan akhir. Saya harap kami dapat beraksi dengan baik, memberi persembahan terbaik dan tunjukkan permainan yang berkualiti,” katanya.
Mengulas lanjut, Nafuzi menegaskan kelewatan tiga pemain iaitu Ubaidullah Shamsul, Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney menyertai pasukan tidak akan mengganggu rentak pasukan.
“Liga Super kita masih berjalan, jadi pasukan mereka perlukan khidmat mereka. Sebab itu mereka hanya dilepaskan dua atau tiga hari sebelum kejohanan,” katanya.
Bagaimanapun, Nafuzi optimis keadaan itu tidak memberi masalah besar memandangkan ketiga-tiga pemain berkenaan pernah bekerjasama dengannya ketika beraksi di Indonesia dalam saingan Piala AFF B-23, bulan lalu.
“Kami sudah kenal antara satu sama lain, jadi ia tidak menjejaskan persiapan. Malah saya yakin mereka mampu cepat menyesuaikan diri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd