Aaron (kanan) dan Wooi Yik muncul naib juara Terbuka China di Changzhou pada Ahad. Foto Agensi
KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi tetap berbangga dengan persembahan dipamerkan oleh Aaron Chia–Soh Wooi Yik yang muncul naib juara Terbuka China pada Ahad.
Malah, beliau menyifatkan prestasi anak buahnya itu semakin meningkat biarpun terlepas gelaran juara kejohanan berstatus Super 1000 tersebut.
Tambahnya, kebangkitan di Changzhou selepas tersingkir awal di Terbuka Jepun menjadi isyarat jelas bahawa mereka sudah kembali berada di landasan terbaik menjelang Kejohanan Dunia di Paris bulan depan.

Herry.
“Pada saya, penampilan mereka (Aaron–Wooi Yik) di Jepun memang kurang baik. Kalah di pusingan pertama kepada beregu Malaysia sendiri.
“Permainan mereka perlahan dan seperti yang saya selalu sebut, tiada ‘api’ langsung. Semangat bertarung kurang, terlalu perlahan,” katanya.
Herry menjelaskan bahawa kekalahan Aaron–Wooi Yik bukan disebabkan kelemahan pelan permainan mereka semata-mata, sebaliknya dipengaruhi oleh prestasi cemerlang gandingan Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri yang beraksi dengan sangat baik.
“Minggu lalu di Terbuka China, kejohanan berstatus Super 1000, mereka menunjukkan peningkatan yang cukup baik. Layak ke final bukan mudah. Dalam final memang kalah, tetapi Fajar dan Fikri bermain sangat baik, terutama di sektor depan.
“Jadi, dari sudut perancangan permainan, kita kalah di situ kerana lawan mereka bermain dengan cukup baik,” katanya yang terkenal dengan julukan Naga Api.
Dalam aksi final di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou, Aaron–Wooi Yik gagal memanfaatkan status pilihan apabila tumpas 15–21, 14–21 kepada pasangan pecah gandingan Fajar–Muhammad Shohibul yang hadir sebagai beregu bukan pilihan.