am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Video memaparkan 18 van jenazah diiringi dua kereta peronda polis mendapat perhatian di Facebook (FB) selepas kemalangan tragis mengorbankan 15 nyawa di Gerik, Perak awal pagi tadi membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dan kelindan bas.
Video berdurasi 45 saat dimuatnaik pengguna media sosial, Hatimie Attef di FB itu mendapat ratusan komen daripada pelbagai pihak.
Menerusi keterangan di FB, Hatimie turut menulis ‘suasana hiba mengiringi pelajar Upsi’.
Ia kemudian mendapat komen pelbagai pihak yang rata-ratanya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pelajar Upsi yang terbabit nahas itu.
Di ruangan komen, seorang pengguna, Lina Mamasab mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa.
“Salam takziah buat seluruh ahli-ahli keluarga jenazah..semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah SWT,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna FB, Kamsani Mat Amin juga memohon doa kepada Allah SWT bagi mempermudahkan segala urusan keluarga mangsa.
“Ya Allah engkau permudahkan segala urusan kesemua keluarga mangsa dan tempatkan roh arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Seorang lagi pengguna Facebok dikenali sebagai Iqbal Chang turut memberikan komen agar Allah SWT memberikan kesabaran kepada ahli keluarga pelajar.
“Salam takziah bagi semua ahli keluarga mangsa. Semoga Allah bagi kekuatan sabar dan terima qada dan qadar untuk semua ahli keluarga…amin,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan kemalangan tragis yang mengorbankan 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi membabitkan 14 pelajar Upsi dan seorang kelindan bas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, setakat ini seramai 15 disahkan meninggal dunia terdiri 10 wanita dan lima lelaki.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula menyatakan 13 jenazah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat.
Zambry berkata, dua lagi jenazah akan dibedah siasat di Hospital Gerik, manakala mangsa yang cedera dalam kemalangan itu turut mendapat rawatan di hospital sama.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyelaras bantuan penginapan untuk keluarga mangsa bersama Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan Kolej Komuniti Gerik.
© New Straits Times Press (M) Bhd