am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Jenazah kanak-kanak lelaki yang terkorban dalam nahas kenderaan utiliti sukan (SUV) bapa saudaranya yang baru dimiliki tidak sampai 24 jam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Kuang, Penaga, di sini, awal pagi tadi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Iskandar Affan Ibrahim berusia tujuh tahun dibawa pulang ke kampung halaman selepas proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor, Setar selesai, malam tadi.
Suasana pilu menyelubungi rumah ahli keluarga mangsa ketika orang ramai terdiri daripada penduduk kampung dan sanak saudara ketika menyambut ketibaan jenazah kanak-kanak berkenaan kira-kira 2 pagi untuk disolatkan dan dikebumikan.
Iskandar Affan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah selepas Proton X50 dinaiki bersama enam ahli keluarganya terbabit kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tanah dalam kejadian di Jalan Pinang Tunggal dekat Sungai Petani, Kedah.
Insiden 3.50 petang itu turut mengorbankan lima yang lain termasuk dua bapa saudara, ibu saudara, nenek dan sepupunya yang masih bayi.
Mangsa lain yang maut dikenali sebagai Ahmad Syafiq Ahmad Shukri, 29 yang juga anggota polis; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21; Jamaliah Sannusi, 29; Nora Mohd Husin, 55 dan Ahmad Mikail Ahmad Syafiq berusia dua bulan.
Seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun Aulia Sofea Ahmad Syafiq berusia tiga tahun dilaporkan terselamat, namun berada dalam keadaan kritikal.
Dalam kejadian itu, Iskandar Affan dikatakan mengikut bapa saudaranya pada saat akhir kerana mahu menaiki kenderaan baharu.
Kenderaan baharu itu adalah milik Ahmad Fahim yang baru diambil di sebuah pusat jualan di Juru, Pulau Pinang, kurang lima jam sebelum kemalangan.
Mereka sekeluarga ketika itu dipercayai dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga, sebelum kenderaan dinaiki terbabit nahas dengan sebuah lori yang menghala ke Tikam Batu.
Sementara itu, jenazah lima lagi mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Tiga Pasir, Merbok Sungai Petani, kira-kira 7 pagi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






