KUALA KRAI: Dua lagi mangsa termasuk seorang bayi berusia setahun disahkan maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh di sini hari ini.
Terdahulu dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, Safinaz Razmi, 52, maut di lokasi kejadian selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaikinya dipercayai bertembung dengan sebuah Toyota Alphard.
Beberapa jam kemudian, anak mangsa, Jasmin Lyana Mohd. Jamil, 22, pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini akibat kecederaan parah di kepala.
Lebih memilukan, anak perempuan Jasmin Lyana yang berusia setahun, Nur Nuha Helena Abd. Matin, turut meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 petang tadi akibat kecederaan sama.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd. Maizan Mustaffa berkata, suami Jasmin Lyana yang juga pemandu Perodua Bezza kini masih kritikal dan dirawat di Zon Merah HSIP.
Katanya, siasatan awal mendapati, kereta Perodua Bezza yang dinaiki empat beranak itu dipercayai memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Alphard dari arah bertentangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, seorang wanita maut manakala lima lagi cedera termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan di pagi Aidiladha hari ini melibatkan MPV dengan kereta berhampiran stesen minyak Caltex Laloh, di sini.
Dalam kejadian sekitar 7.15 pagi itu, mangsa Safinaz Razmi, 52, yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza maut di lokasi selepas disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan.-UTUSAN






