PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa kerajaan mengambil pendekatan terhadap keselamatan dan pengurusan perjalanan rasmi institusi pendidikan.
Naib Presidennya, Muhammad Danial Alimin berkata, gesaan itu susulan nahas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Gerik-Jeli, Gerik, Perak yang mengorbankan 15 nyawa pagi tadi.
“Kami menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pengangkutan untuk menggubal prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan pengangkutan pelajar, khususnya dalam aspek, saringan kelayakan syarikat bas sewaan, audit pemandu, penggunaan sistem dashcam dalam semua bas rasmi pelajar.
“Kerajaan turut boleh mewujudkan Dana Tabung Kecemasan Pelajar Nasional untuk pelajar IPT dengan menyediakan bantuan segera kepada keluarga mangsa jika berlakunya sebarang tragedi,” katanya dalam kenyataan hari ini/
Muhammad Danial berkata, GPMS turut menggesa semua IPT agar lebih tegas dalam menilai risiko sesuatu perjalanan dan lebih peka terhadap keselamatan semasa menjalankan sebarang aktiviti luar kampus. – UTUSAN