Nahas di Pekan: Identiti 5 beranak maut dikenal pasti

Nahas di Pekan: Identiti 5 beranak maut dikenal pasti



am@hmetro.com.my

Kuantan: Identiti lima beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 65, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, Pekan, hari ini, sudah dikenal pasti.

Mereka yang meninggal dunia itu ialah Hamzah Zahari, 53, dan isteri, Rahimah Awang Muda, 38, serta tiga anak mereka dari Nenasi, Pekan.

Tiga anak pasangan itu yang turut meninggal dunia ialah Ainul Mardhiyah Hamzah, 10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, berdasarkan laporan, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu kereta Proton Wira yang dinaiki keluarga berkenaan dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang dinaiki dua individu.

Katanya, siasatan awal mendapati Proton Wira yang dipandu Hamzah dari arah Rompin menghala ke Nenasi, Pekan, manakala Grand Livina yang dipandu lelaki berusia 51 tahun dari arah Kuantan menghala ke Rompin.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Wira yang dipandu Hamzah dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Grand Livina yang sedang bergerak lurus.

“Akibat kemalangan itu, lima individu yang menaiki Proton Wira disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki dan wanita berusia 43 tahun yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top