NAIB CANSELOR UiTM CATAT SEJARAH TERIMA ANUGERAH TOKOH JAMINAN KUALITI

SHAH ALAM, 12 OGOS 2025 – – Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, mencipta sejarah sebagai ahli akademik pertama negara yang meraih Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti (Dalam Negara) pada Majlis Anugerah MQA 2025 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, malam tadi. Pengiktirafan berprestij ini mengangkat sumbangan beliau selama hampir tiga dekad dalam memacu kecemerlangan jaminan kualiti pendidikan tinggi negara.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud; serta Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin menerima pengiktirafan ini hasil sumbangan dan penglibatan beliau yang konsisten sejak tahun 1997, bermula daripada Lembaga Akreditasi Negara (LAN), seterusnya Badan Jaminan Kualiti Akademik (BJKA) dan sehingga kini bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Peranan beliau merangkumi pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Penilai, Ahli Majlis MQA, dan penasihat strategik dalam pembangunan dasar kualiti akademik negara.

“Alhamdulillah, direzkikan Allah menerima Anugerah Tokoh Jaminan Kualiti (Dalam Negara) di Majlis MQA Awards 2025. Terima kasih kepada CEO, Pengerusi dan pengurusan MQA serta YBM KPT atas pengiktirafan ini. Kita telah bersama sejak era LAN, BJKA dan kini MQA, dan saya berbesar hati dapat terus menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan tinggi negara,” ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada UiTM yang tersenarai sebagai finalis bagi dua kategori lain iaitu Anugerah Audit Kualiti Dalaman (IQA) dan Anugerah Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) melalui penyertaan Institute of Quality and Knowledge Advancement (InQKA) dan Institute of Continuing Education & Professional Studies (ICEPS).

Anugerah MQA 2025 merupakan inisiatif julung kali agensi itu bagi mengiktiraf institusi dan individu yang mencapai kecemerlangan dalam kualiti akademik, inovasi, dan tadbir urus. Ia merangkumi sektor pendidikan tinggi awam, swasta, politeknik, kolej komuniti, kolej swasta, serta institusi latihan awam, selari dengan aspirasi Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.

Pengiktirafan ini menjadi inspirasi buat seluruh warga UiTM untuk terus mengangkat kualiti sebagai teras kecemerlangan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.

Press Release
The Malay Tribune

OR

Scroll to Top