Brussels: Bekas pemain antarabangsa Belgium, Radja Nainggolan, ditahan dalam siasatan berkaitan penyeludupan kokain melalui pelabuhan Antwerp, menurut Pejabat Pendakwa Raya Brussels.
Polis menahan beberapa suspek, termasuk Nainggolan, selepas menjalankan siri serbuan pada awal pagi di seluruh negara, kata pejabat berkenaan kepada AFP.
“Siasatan ini membabitkan dakwaan penyeludupan kokain dari Amerika Selatan ke Eropah melalui pelabuhan Antwerp, dan pengedarannya di Belgium,” menurut kenyataan pihak pendakwa raya.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut didedahkan setakat ini.
Nainggolan, 36, yang dilahirkan di Antwerp, baru sahaja keluar dari persaraan minggu lalu untuk menyertai kelab liga bawahan Belgium, menambah satu lagi episod kepada karier panjangnya.
Sepanjang kariernya, dia bermain 30 perlawanan dan menjaringkan enam gol untuk pasukan kebangsaan.
Bekas pemain pasukan Itali seperti Cagliari, Inter Milan dan Roma ini tidak mempunyai kelab sejak musim panas lalu sebelum menandatangani kontrak bersama pasukan divisyen dua Belgium, Lokeren, minggu lalu.
Penampilan sulungnya bersama Lokeren pada hujung minggu lalu menyaksikan dia menjaringkan gol dalam keputusan seri 1-1 di tempat sendiri menentang K Lierse.
Sebelum itu, Nainggolan kembali dari Itali ke Belgium pada musim panas 2021 untuk menyertai Royal Antwerp.
Pemain tengah yang terkenal dengan gaya bertatu dan sering mencetuskan kontroversi di luar padang ini berpisah dengan Antwerp pada awal 2023.
Beberapa bulan sebelumnya, beliau digantung kerana didapati menghisap rokok elektronik di bangku simpanan, menurut laporan media Belgium.
© New Straits Times Press (M) Bhd