Najis ayam punca Sungai Pertang 'busuk'

Najis ayam punca Sungai Pertang 'busuk'


am@hmetro.com.my

Jelebu: Penternakan ayam dan najis unggas itu dipercayai menjadi punca utama pencemaran Sungai Pertang di sini, hingga meresahkan penduduk.

Susulan itu operasi bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pelbagai agensi dijalankan baru-baru ini bagi menyiasat aduan mengenai pencemaran Sungai Pertang.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, masalah itu turut dibangkitkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 8 April lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan di beberapa lokasi utama mendapati kualiti air Sungai Pertang dan Sungai Marong berada dalam keadaan normal.

” Walau bagaimanapun siasatan terdahulu oleh pihak JAS mendapati punca pencemaran yang pernah berlaku adalah disebabkan aktiviti penternakan ayam oleh sebuah premis.

“Terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat lesen termasuk bacaan Biochemical Oxygen Demand (BOD) yang melebihi had ditetapkan.

“Sehubungan itu tindakan penguatkuasaan sudah dan sedang ambil oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya semalam.

Dalam perkembangan lain Veerapan berkata, isu kebocoran paip sistem efluen di kawasan Sungai Marong juga sudah dikenal pasti sebelum ini.

“Tindakan pembaikan serta pembersihan dilaksanakan segera oleh pihak premis terbabit.

“Notis arahan turut sudah dikeluarkan bagi memastikan pematuhan berterusan. Berhubung dakwaan pembuangan sisa sawit oleh sebuah kilang, Veerapan berkata, siasatan mendapati bahan itu adalah produk bukan buangan berjadual yang dibeli peneroka untuk tujuan pembajaan.

“Namun demikian, pihak pengurusan FELDA diingatkan supaya memastikan kaedah pelupusan dan penggunaan bahan itu mematuhi prosedur ditetapkan serta tidak menimbulkan gangguan kepada masyarakat setempat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top