Najis lembu dipercayai punca beberapa pelumba basikal tak sihat

Najis lembu dipercayai punca beberapa pelumba basikal tak sihat


Brussels: Beberapa pelumba basikal profesional termasuk yang dijadualkan beraksi dalam perlumbaan Giro d’Italia, esok, dilaporkan jatuh sakit selepas menyertai perlumbaan sehari di Belgium, dipercayai akibat terkena najis lembu di atas jalan.

Tiga pelumba pasukan Lotto-Intermarche mengalami sakit perut, cirit-birit, demam dan muntah sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut ketika berada di Bulgaria, lokasi permulaan Giro d’Italia musim ini.

Pemenang perlumbaan Famenne Ardenne Classic, Arnaud De Lie, yang dijangka menjadi sandaran utama pasukan Belgium itu di Giro d’Italia, pada awalnya tidak menunjukkan sebarang simptom sebelum mula berasa loya ketika dalam penerbangan ke Bulgaria.

“Dia masih kurang sihat, namun setakat ini penyertaannya dalam Giro tidak terjejas,” menurut kenyataan pasukan Lotto.

Difahamkan hanya lima daripada lapan pelumba Lotto mampu menghadiri majlis pengenalan pasukan pada Rabu selepas beberapa pelumba lain turut mengalami simptom sama.

Media Belgium melaporkan beberapa pasukan lain termasuk Alpecin turut terkesan, malah pengarah sukan Lotto, Maxime Bouet mendakwa “separuh peloton kini jatuh sakit.”

Pasukan Lotto percaya jangkitan mungkin berpunca daripada najis lembu yang terdapat di laluan perlumbaan di Ardennes, dengan keadaan jalan basah menyebabkan sisa itu terpercik ke arah pelumba sepanjang perlumbaan berlangsung.

Walaupun punca sebenar masih belum disahkan, bakteria Campylobacter yang boleh menyebabkan jangkitan gastrousus dipercayai menjadi penyebab utama insiden berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top