Nak cergas, bergaya

Nak cergas, bergaya



am@hmetro.com.my

Jitra: Biarpun kelibat Muhammad Adam Daniel Fadzil, 17, sering mencuri tumpuan ramai kerana ketinggiannya, jauh di sudut hatinya mahu tampil cergas dan bergaya seperti rakan sebayanya.

Berikutan itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putera di sini, kini berusaha menurunkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Muhammad Adam Daniel berkata, dia tidak pernah berasa kekok apabila ramai menegur mengenai ketinggiannya iaitu 195 sentimeter (cm) kerana menganggap ia adalah kelebihan yang diberikan Allah.

Menurutnya, apabila berada di sekolah, dia sering dipanggil guru untuk melakukan kerja tertentu yang memerlukan ketinggian.

“Saya rasa seronok dapat bantu, begitu juga rakan di sekolah, ada barang di tempat tinggi yang tak mampu capai, mereka akan panggil saya untuk tolong.

“Kalau nak pasang apa-apa di tempat tinggi, saya akan tolong. Barangan berat pun mereka akan minta tolong, saya besar hati nak tolong cikgu dan rakan asalkan bagi ringankan beban mereka,” katanya yang tinggal di Kampung Telaga Batu, Sungai Korok, di sini.

Terdahulu, Adam mendapat perhatian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Tunku Seri Indera Putera pada 23 September lalu.

Malah, Muhammad Sanusi yang sempat meluangkan masa beramah mesra dengan Adam juga terkejut apabila diberitahu tentang kasut bersaiz 15 yang dipakai oleh pelajar berkenaan.

Bercerita lanjut, Muhammad Adam Daniel atau lebih mesra dipanggil Adam berkata, dia juga aktif dengan sukan lontar peluru serta tarik tali di sekolah dan memegang rekod tanpa kalah.

“Apabila tarik tali saya akan berada di belakang dan saya hanya perlu bantu rakan untuk pastikan pasukan saya menang,” katanya.

Ketika ditanya adakah dia pernah diejek kerana memiliki ketinggian dan berbadan besar, Adam berkata, situasi itu pernah dihadapinya ketika di sekolah rendah apabila ada yang memanggilnya giant atau gergasi.

Bagaimanapun katanya, dia tidak pernah ambil hati dengan panggilan itu dan menganggapnya sebagai lumrah dalam hidup.

“Kawan selalunya akan seronok berkawan dengan saya, apabila saya berdiri mereka selalunya perlu mendongak kepala untuk bercakap.

“Selain itu, saya sendiri perlu berhati-hati untuk masuk ke bilik air rumah atau mana-mana premis yang rendah kerana bimbang akan terhantuk kepala,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik berkata, dia kini dalam proses untuk menurunkan berat badannya yang ketika ini sudah mencapai 130 kilogram (kg).

Katanya, keadaan fizikalnya yang besar juga membuatkan kebanyakan pakaiannya perlu ditempah kerana sukar mendapatkan saiz.

“Pakaian sekolah, baju raya selalu ibu tempah, kain diperlukan kira-kira lapan meter berbanding saiz fizikal orang Asia Tenggara antara empat ke lima meter sahaja.

“Kasut pula saiz 15, sukar nak cari di pasar raya atau pusat beli-belah hingga terpaksa beli dalam platform dagangan dalam talian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top