am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang senada dengan bekas Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk tidak akan mengemukakan rayuan susulan pergantungannya oleh parti.
Maulizan yang juga bekas Exco Johor berkata, beliau kekal dengan prinsip sebelum ini memandangkan pergantungannya selama enam tahun didakwa dibuat tanpa mengikut prosedur.
Menurutnya, langkah diambil kerana beliau tidak dipanggil untuk membela diri, tidak diberi surat tunjuk sebab dan penggantungannya tidak melalui proses Lembaga Disiplin.
“Kami ini diibarat digantung tanpa tali kerana tidak tahu apa punca penggantungan keahlian selama enam tahun sejak Januari 2023. Bayangkan sudah lebih 800 hari sejak digantung, kami masih tak tahu apa kesalahan kami.
“Saya sendiri sejak digantung, sehinggalah ke hari ini, tiada sekeping surat pun berkunjung tiba ke rumah saya untuk menyatakan punca penggantungan.
“Kami digantung tanpa tahu punca, lepas itu macam mana nak merayu? Nak rayu atas dasar apa, fakta apa? Takkan semuanya hearsay sahaja,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Pada masa sama, Maulizan berkata, kecewa dengan pelbagai fitnah dilemparkan untuk menggambarkan kesalahan tidak pernah dilakukannya.
“Seperkara lagi, kenapa tindakan dibuat menjelang pemilihan parti? Itu yang saya tak faham,” katanya.
Selain Maulizan dan Hishammuddin, pemimpin lain yang digantung adalah bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Sementara, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipecat berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
© New Straits Times Press (M) Bhd