Abdul Halim. Foto Bernama
STADIUM Perbandaran Nakhon Pathom, berhampiran Bangkok dipilih sebagai venue rasmi bagi sepak takraw dan chinlone pada Sukan SEA Thailand 2025 akhir tahun ini.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata, stadium berkapasiti 4,000 penonton itu akan menjadi gelanggang temasya dwitahunan tahunan tersebut yang bermula dari 9 hingga 20 Disember.
Beliau berkata, pemilihan Nakhon Pathom dibuat berdasarkan kemudahan infrastruktur yang lengkap termasuk fasaliti hotel lima bintang dalam jarak dekat dengan venue pertandingan.
“Selain itu, Nakhon Pathom juga menjadi tuan rumah kepada mesyuarta Jawatankuasa Pengurusan Kejohanan Sukan SEA, Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Jawatankuasa Perkhidmatan Teknikal Kejohanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Abdul Halim juga yakin pengendalian kejohanan itu akan berjalan lancar dengan pelaksanaan teknologi terkini seperti kamera cabaran, termasuk penambahbaikan sistem cabaran bagi memastikan keputusan yang lebih adil.
“Berdasarkan aspek teknikal, ASTAF yakin sepenuhnya bahawa sepak takraw dan chinlone akan dijalankan secara profesional,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Jawatankuasa Penganjur SEA Thailand telah meluluskan beberapa kategori yang akan dipertandingkan.
“Sepak takraw akan melibatkan acara regu, kuadran, hoop dan kuadran campuran (lelaki dan wanita), manakala chinlone pula ialah acara linking (lelaki dan wanita).
Kejohanan kali ini dijangka lebih sengit dan menarik dengan Nakhon Pathom bakal menjadi pentas pertarungan jaguh-jaguh sepak takraw terbaik di rantau ini.