KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah, menegaskan bahawa para Rasul diutuskan dengan tujuan yang sama, iaitu menyeru manusia menyembah Allah Yang Maha Esa.
Beliau berkata, masalah utama manusia bukanlah tidak mempercayai kewujudan Tuhan, kerana secara fitrah manusia tahu bahawa alam ini diciptakan oleh satu kuasa Maha Agung, tetapi masalahnya adalah manusia menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.
“Sejak zaman Nabi Nuh, manusia mula mencipta perantaraan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
“Mereka membuat patung-patung sebagai tanda penghormatan kepada orang-orang soleh yang telah meninggal dunia, tetapi lama-kelamaan patung-patung itu disembah sebagai berhala.
“Inilah punca syirik, iaitu menyembah selain Allah atau menyekutukan-Nya dengan makhluk ciptaan,” katanya dalam media sosial miliknya.
Menurut Mohd Amar, sejarah manusia membuktikan bahawa semua tamadun, tidak kira di mana atau sebesar mana, mempunyai kepercayaan kepada Tuhan atau sesuatu yang ghaib.
“Walaupun mereka mungkin tidak membina kota besar atau monumen, mereka tetap beragama. Kepercayaan kepada satu kuasa agung ini tertanam dalam diri manusia sejak lahir.
“Namun, tidak semua menemui jalan yang benar. Ada yang menyembah matahari, bulan, atau benda-benda lain kerana gagal memahami hakikat ketuhanan,” jelasnya.
Beliau berkata, kehadiran para Nabi dan Rasul adalah untuk memperbetulkan salah faham itu dengan mengajarkan bahawa Tuhan itu satu dan manusia tidak memerlukan perantaraan dalam ibadah.
“Manusia perlu kembali kepada keimanan yang tulus dan menyembah Allah tanpa menyekutukan-Nya. Pesanan ini bukanlah perkara baru, ia adalah fitrah yang Allah tanamkan dalam hati manusia,” tambahnya.
Menurutnya, walaupun manusia secara umumnya mengakui Allah sebagai Pencipta langit, bumi, dan segala yang ada di antara keduanya, ramai yang keliru dalam cara mereka menyembah-Nya.
Beliau berkata, sebahagian menggunakan perantaraan, sebahagian lagi mencampur-adukkan kepercayaan dengan adat dan budaya.
“Inilah cabaran utama yang ingin diluruskan oleh para rasul. Mereka diutuskan untuk membawa manusia kembali kepada tauhid, mengesakan Allah dalam erti kata sebenar, dan menyembah-Nya tanpa syirik.
“Keimanan yang tulus dan pengabdian yang sebenar kepada Tuhan yang Maha Esa,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/1/2025