Rabat: Harapan Algeria untuk menamatkan krisis penjaga gol menerusi nama besar Luca Zidane tidak kesampaian apabila percaturan itu memakan diri di pentas Piala Negara-Negara Afrika, sekali gus memaksa mereka mencari alternatif menjelang kempen Piala Dunia hujung tahun ini.
Anak kepada legenda bola sepak dunia, Zinedine Zidane, itu gagal meyakinkan ketika Algeria tersingkir di suku akhir selepas tewas 0-2 kepada Nigeria.
Kesilapan ketara Zidane membuka ruang buat Nigeria mendahului apabila tindakannya melompat, bukannya merebahkan badan, untuk menepis tandukan Victor Osimhen membawa kepada jaringan pembukaan pada awal babak kedua.
Situasi bertambah buruk apabila hantaran lemah penjaga gol berusia 27 tahun itu membolehkan lawan merampas bola sebelum menjaringkan gol kedua 10 minit kemudian.
Zidane sebelum ini mencuri perhatian apabila dipanggil menyertai Algeria, negara asal datuk dan neneknya, selepas lama beraksi di divisyen kedua Sepanyol.
Namun, sorotan lampu di kejohanan besar itu ternyata terlalu berat untuk dipikul.
Walaupun pernah membuat dua penampilan bersama Real Madrid ketika bapanya menjadi jurulatih, karier Zidane lebih banyak dihabiskan di liga bawahan Sepanyol.
Algeria sebelum ini bergantung kepada Anthony Mandrea, namun keputusan jurulatih Vladimir Petkovic untuk tidak memanggil pemain dari liga rendah membuka ruang buat Zidane, terutama selepas kecederaan menimpa Alexis Guendouz menjelang kejohanan.
Zidane sebelum itu menampilkan aksi meyakinkan di peringkat kumpulan dan pusingan 16 terbaik tanpa bolos, namun ujian sebenar menentang Nigeria mendedahkan kelemahannya.
Prestasi itu dijangka memaksa Petkovic menilai semula pilihan penjaga gol menjelang kempen Piala Dunia, dengan masa semakin suntuk untuk Algeria memperbaiki kelemahan utama mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd





