KUALA LUMPUR: Pelakon, Ezzanie Jasny menafikan dakwaan mengatakan beliau menjalani pembedahan kosmetik bagi mengubah wajahnya.
Sebaliknya, Ezzanie atau Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 25, berkata perubahan penampilannya mungkin disebabkan oleh penurunan berat badan sebanyak lapan kilogram hasil daripada amalan pemakanan sihat dan penjagaan diri yang konsisten.
“Saya tak buat muka, tapi saya sangat menitikberatkan penjagaan kulit, lebih-lebih lagi kerana saya sering berdepan dengan kamera. Satu jerawat pun boleh buat saya stres.
“Saya hanya lakukan rawatan kecantikan biasa seperti ejuren dan skin booster, bukan pembedahan wajah seperti yang didakwa,” katanya.
Ezzanie ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Still Me With More anjuran BMF The Aesthetics People dan Svenson, baru-baru ini.
Tambah pelakon drama Dia Bukan Syurga itu, berat badannya sebelum ini mencecah 58 kilogram namun kini susut kepada 51 kilogram hasil daripada disiplin dan gaya hidup yang lebih sihat.
Mengulas lanjut mengenai rejim pemakanan yang diamalkan, Ezzanie menjelaskan beliau memilih untuk mengelakkan pengambilan nasi serta makanan bergula.
“Pagi saya hanya ambil meal replacement, manakala waktu tengah hari pula saya elakkan makan nasi dan hanya makan lauk sahaja.
“Saya juga tidak ambil gula dan sangat berhati-hati dalam pengambilan kalori harian. Semua ini adalah atas inisiatif saya sendiri, bukan disebabkan tekanan atau paksaan mana-mana pihak,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Ezzanie turut mengumumkan beliau kini bergelar duta kepada syarikat kecantikan BMF sejak Jun lalu.
Bagi Ezzanie, kecantikan sebenar bukan sekadar luaran, malah turut merangkumi keyakinan dalaman serta kesihatan mental yang seimbang.
Sebagai duta, Ezzanie turut menyokong kempen Still Me With More bersempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Pelakon itu menyeru masyarakat agar memberi perhatian kepada penjagaan diri secara menyeluruh, bukan hanya dari sudut fizikal tetapi juga mental dan emosi.
Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran ialah Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor dan selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob yang turut menyatakan sokongan terhadap kempen berkenaan. -UTUSAN