Nana pastikan memori arwah Faizal hidup dalam hati Rayyan

Nana pastikan memori arwah Faizal hidup dalam hati Rayyan


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Meskipun sudah 15 tahun Allahyarham Faizal Yusup meninggal dunia, penyanyi, Siti Nordiana Alias atau Nana, 42, tetap mengingatkan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 18, terhadap bekas suaminya yang juga pelakon.

Nana berkata, sehingga kini Rayyan tetap mengingati arwah bapanya yang dipanggil Abah walaupun kenangan tidak banyak kerana arwah meninggal dunia pada 2011 ketika anak mereka masih kecil.

“Rayyan tetap ingat arwah abah dia. Tetapi, kenangan itu tidak banyak sebab arwah Faizal meninggal dunia pun ketika dia (Rayyan) masih budak. Jadi, Nana sentiasa ingatkan Rayyan.

“Kadang-kadang, dia lihat juga gambar abah dia, video arwah berlakon. Selain itu, Nana pun selalu ‘forward’ pada Rayyan kalau ada yang lalu di ‘For You Page’ (FYP) media sosial supaya dia ingat.

“Dia pun tahu arwah abah dia dulu pelakon, cari duit untuk dia. Apa pun, Nana cuba beri motivasi kepada Rayyan macam mana arwah bekerja untuk dia terus ingat dan selalu titipkan doa buat Allahyarham,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Cinta Hanya Sandaran dan Terus Mencintai, Rayyan pasti tersenyum bila melihat potret arwah bapanya dan tiada sebab untuk melupakan insan tersayang dalam hidupnya.

“Saya pun sebagai ibu, selalu juga bercerita kenangan dengan Allahyarham bekas suami dulu kepada Rayyan dan kami berdua juga tidak putus hubungan dengan keluarga arwah.

“Sampai sekarang, Rayyan dengan keluarga arwah abah dia tetap saling menghubungi dan berjumpa walaupun saya dan Allahyarham Faizal sudah berpisah ketika anak masih kecil sebab jodoh tidak panjang.

“Tetapi, mana kenangan yang ada itu sentiasa Nana ingatkan kepada Rayyan untuk dia selalu kirim mesej buat keluarga arwah untuk bertanya khabar dan ada masa mereka juga akan berjumpa,” katanya.

Berbicara mengenai sambutan hari raya Aidilfitri baru-baru ini, Nana yang juga pelakon memaklumkan dia bersama anak dan ibunya dikenali sebagai Wan Jemah beraya di Kuala Lumpur sahaja.

“Emak Nana pun tinggal bersama. Bagaimanapun, pada hari raya ketiga lalu, Nana berangkat ke Vietnam untuk bercuti selama beberapa hari dengan kawan-kawan.

“Ketika cuti musim perayaan ini sahaja yang kami ada untuk berkumpul sesama sahabat dan melancong bersama. Apatah lagi, tahun ini saya merancang beraya ke rumah saudara-mara dan sahabat agak lambat sebab kita raya pun sebulan,” katanya.

Ditanya hubungan rapat dengan penyanyi, Nubhan Ahamad, 40, yang kini berstatus duda, Nana berkata, dia dan bapa tunggal tiga anak itu sudah berkawan lama sebelum masing-masing berkahwin.

“Kami berkawan baik sejak dulu dan sudah lama sangat. Memang kalau ada kelapangan masa, Nana dan Nubhan juga akan pergi melancong sama-sama dengan kawan-kawan lain sebab selesa serta dah terbiasa.

“Lagi pula, rasanya tidak ada apa-apa masalah pun kerana persahabatan itu terjalin sudah lama. Jadi, tidak ada isu. Sebab kalau pergi melancong, memang ini muka-mukanya, yang sama sahaja mana-mana destinasi yang kami kunjungi pun.

“Sejak dari masing-masing masih bujang, kemudian sampai kami sudah berkahwin dan kembali ‘bujang’ semula, memang tidak berubah. Muka-muka itulah, kawan-kawan yang Nana ada,” jelasnya.

Nana yang juga juara Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada 2015 memaklumkan jauh di sudut hati dia tetap mengenang dan merindui bapanya, Allahyarham Alias Ahmad setiap kali menyambut kedatangan Syawal.

“Sebenarnya sekarang apabila meraikan hari raya, Nana paling rindu memori beraya dengan arwah ayah. Sebab, selalunya yang buat meriah adalah kehadiran ayah kerana menjadi tradisi keluarga Nana pergi beraya ke rumah sanak saudara.

“Arwah ayah akan pastikan kami sekeluarga berkunjung ke rumah adik-beradiknya di sekitar Seremban. Memang sudah menjadi rutin setiap hari raya dan kenangan itu adalah paling meriah,” katanya.

Menyentuh pula perancangan karier seninya, Nana memberitahu dia bakal muncul dengan lagu baharu bergenre balada pada Mei depan.

“Projek selepas raya, insya-Allah saya akan muncul dengan lagu terbaharu. Karya balada kerana sebelum ini Nana tampil dengan lagu irama Malaysia, Ahai dan lagu rap, Merayu Angan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top