Nanthakumar gembira, Fandi terkilan

Nanthakumar gembira, Fandi terkilan


Tonggak Negeri Sembilan, Hein Htet Aung (kiri) bersaing dengan pemain Pahang, Stefano Brundo (dua, kiri) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. Foto Bernama

KEMENANGAN ke atas Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, mampu mengembalikan keyakinan pemain Negeri Sembilan FC bagi menghadapi baki saingan Liga Super, kata pengendali skuad Rusa, K Nanthakumar.

Malah Nanthakumar berharap skuad kendaliannya itu terus mengekalkan momentum kemenangan sekali gus mengumpul lebih banyak mata dan memperbaiki kedudukan dalam liga.

“Saya gembira dan pemain patut dipuji kerana mereka telah bekerja keras di padang selepas lama tak menang, malam ini (malam tadi) menang dengan Sri Pahang FC iaitu satu pasukan yang bagus.

“Di awal babak permainan memang ada kesilapan gol sendiri oleh Aliyu Audu Abu Bakar tapi kita bangkit, saya beritahu mereka, kita kena menang, kena lawan, jadi kita dapat dua gol memang bagi kelebihan dan semangat untuk mereka berusaha hingga minit akhir,” katanya selepas perlawanan pada Jumaat.

Skuad Rusa menamatkan badi kemarau kemenangan di laman sendiri dengan menewaskan skuad Tok Gajah 2-1 hasil jaringan pemain import Hein Htet Aung pada minit ke-44 dan Selvan Anbualagan pada minit ke-59.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui Tok Gajah kurang kerjasama dan tidak menguasai posisi bola dengan baik hingga terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Negeri Sembilan biarpun mendahului pada awal permainan.

“Mereka terlalu perlahan tak dapat menguasai bola dan kemahuan tak ada, pemain tak dapat simpan dan banyak buang bola, mereka juga kurang prestasi…peluang menang memang ada tapi hari ini bukan hari kita, memang hak milik Negeri Sembilan.

“Kemahuan Negeri Sembilan untuk menang sangat tinggi, dari mula mereka sudah tunjukkan kehendak untuk menang dan mereka bermain lebih baik,” katanya dan menambah akan lakukan yang terbaik dalam perlawanan akan datang.



Source link

OR

Scroll to Top