Nanthakumar impi pembaharuan bersama Hobin Jang Hobin

Nanthakumar impi pembaharuan bersama Hobin Jang Hobin


PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K Nanthakumar sudah membayangkan hala tuju skuad Hobin Jang Hobin jika diberikan peluang mengendalikan pasukan menghadapi musim baharu Liga Super 2025/2026.

Setakat ini menurutnya, pengurusan masih belum mengadakan perbincangan dengannya dan kebanyakan pemain yang akan tamat kontrak pada hujung bulan ini.

“Tahun ini saya hanya jurulatih caretaker dengan pemain tempatan dan import yang ada. Kalau bagi saya peluang kedua untuk musim depan sebagai ketua jurulatih, saya mungkin akan ubah pemain dan ikut cara saya.

“Bagi saya, lantik jurulatih dahulu baru pemain. Jurulatih boleh pilih pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.

Pada perlawanan itu, tuan rumah tewas 1-3 kepada Kuching City, sekali gus menamatkan saingan di tempat ke-12 dengan 16 mata manakala Kuching City di tangga keempat selepas mengumpul 39 mata.

Sementara itu, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak mengakui berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya pada keseluruhan musim ini.

“Terima kasih kepada pemain, pengurusan dan penyokong yang sentiasa bersama pasukan Kuching City.

“Pada awal musim kita ada turun naik kerana kecederaan dan sebagainya, tapi kita bangkit selepas jendela perpindahan kedua,” katanya sambil menambah The Cats akan mengekalkan 90 peratus pemain sedia ada dengan sedikit perubahan untuk menghadapi musim baharu.



Source link

OR