sukan@hmetro.com.my
Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Nanthakumar akui berdepan tugas mencabar susulan keadaan pasukan bimbingannya yang terus bergelut untuk mendapatkan kemenangan dalam saingan Liga Super ketika saingan itu bagi musim ini sudah menghampiri penghujungnya.
Selepas sekadar melakar dua kemenangan dan tiga seri daripada 18 perlawanan, skuad Hobin Jang Hobin dilihat terus buntu untuk mendapatkan keputusan positif dengan terbaharu tewas kepada Terengganu FC (TFC), 0-2, di laman sendiri, Ahad lalu.
Situasi itu meletakkan Negeri Sembilan tidak berganjak daripada kedudukan di tempat kedua tercorot, ketika pengurusan tertinggi NSFC mengharapkan perubahan segera berlaku dan sudah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) terhadap barisan kejurulatihan serta pemain.
“Memang ia suatu tugas yang mencabar dalam usaha memastikan pasukan dapat menamatkan saingan liga musim ini dikedudukan yang baik.
“Meskipun begitu, saya tidak akan berputus asa untuk melaksanakan tugas diamanahkan ini dengan sebaik mungkin seperti mana yang diharapkan.
“Kita masih ada baki lima perlawanan lagi dan saya mahu Negeri Sembilan dapat memenangi kesemua perlawanan itu,” kata Nanthakumar, hari ini.
Pengendali berusia 47 tahun itu menegaskan bahawa beliau akan cuba untuk menghadapi cabaran itu secara berfasa dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.
Menurutnya, meskipun peningkatan prestasi yang dipamerkan pasukan itu dalam beberapa perlawanan tidak begitu ketara, namun beliau yakin akan kemampuan anak buahnya untuk melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam baki perlawanan.
“Saya sudah bagi tahu kepada pemain bahawa dalam lima baki perlawanan ini kita perlu berikan komitmen lebih 100 peratus. Kita tidak boleh lagi tewas atau kehilangan mata.
“Saya akan cuba teliti perlawanan mana yang boleh membantu kita untuk mendapatkan mata.
“Kita sedar prestasi pasukan dalam baki perlawanan ini nanti akan menentukan kedudukan dan pencapaian musim ini dan seterusnya akan mempengaruhi persiapan bagi musim hadapan,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus memaklumkan pengurusan tertinggi kelab itu menetapkan satu KPI terhadap barisan kejurulatihan dan pemain iaitu menamatkan saingan dalam lingkungan di tempat kesembilan dan kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd