Tokyo: Pemain Jepun, Kodai Naraoka menamatkan kemarau dua tahun tanpa gelaran selepas menewaskan rakan senegara, Kenta Nishimoto 21-11, 10-21, 21-15 pada final Masters Jepun, hari ini.
Pemain nombor 10 dunia itu merangkul kejuaraan pertamanya sejak Terbuka China pada November 2023 selepas melalui pertarungan sengit di barat Jepun.
Naraoka bermula baik apabila memenangi set pertama dengan mudah namun Nishimoto, pemain nombor 13 dunia, bangkit menyaingi sebelum mengheret aksi ke set penentuan.
Bagaimanapun, Naraoka lebih tenang pada penghujung permainan untuk memastikan kemenangan sekali gus mencerahkan peluangnya layak ke Jelajah Dunia Akhir hujung musim.
Namun dalam saingan wanita, wakil Thailand, Ratchanok Intanon muncul juara selepas mengatasi pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung 21-16, 22-20, gelaran keduanya tahun ini selepas kejayaan di Masters Indonesia.
Dalam beregu campuran, pasangan pilihan utama Thailand, Dechapol Puavaranukroh–Supissara Paewsampran mengatasi beregu Perancis, Thom Gicquel–Delphine Delrue 21-18, 14-21, 21-18.
Sementara itu, pilihan utama Korea Selatan, Kim Won Ho–Seo Seung Jae bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menjuarai acara beregu lelaki apabila menewaskan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita 20-22, 21-11, 21-16.
© New Straits Times Press (M) Bhd





