New Delhi: Perdana Menteri India Narendra Modi akan mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula Sabtu ini, dan beliau dijadualkan mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa ini merupakan lawatan ketiga Modi ke Malaysia.
Selain pertemuan rasmi, Modi juga akan berinteraksi dengan masyarakat India serta wakil industri dan perniagaan di Malaysia.
Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) India-Malaysia ke-10 turut dijadualkan berlangsung sempena lawatan itu yang diadakan atas jemputan Anwar.
“Hubungan India-Malaysia bersifat pelbagai dimensi dan terus berkembang. Lawatan Perdana Menteri ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menyemak semula keseluruhan skop kerjasama dua hala,” menurut kenyataan India itu.
Kenyataan itu turut menekankan pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, hal ehwal maritim, teknologi digital dan kewangan, tenaga, penjagaan kesihatan, pendidikan, kebudayaan, pelancongan serta hubungan rakyat-ke-rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






