NASA kongsi imej menakjubkan Bumi dirakam kru Artemis II

NASA kongsi imej menakjubkan Bumi dirakam kru Artemis II


Houston: Ketika angkasawan misi Artemis II meneruskan perjalanan ke bulan pada Jumaat, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengeluarkan imej awal yang dirakam dari kapal angkasa Orion termasuk potret penuh bumi yang memaparkan lautan biru dan awan berarak.

Selepas beberapa aktiviti berisiko tinggi termasuk pelancaran dramatik dan pembakaran enjin yang meletakkan mereka pada trajektori bersejarah mengelilingi bulan, empat angkasawan di dalam kapal itu berpeluang berehat seketika sambil meneruskan pelbagai pemeriksaan serta ujian peralatan.

“Bagi saya, ia satu pengalaman yang sukar dipercayai, benar-benar luar biasa,” kata angkasawan Kanada, Jeremy Hansen dalam sesi soal jawab bersama media.

Sambil itu, Hansen berkongsi rasa gembira atas pengalaman perjalanan pertamanya ke angkasa.

“Saya sangat menyukainya di sini, ia pemandangannya luar biasa.

“Ia sangat menyeronokkan untuk terapung dalam keadaan graviti sifar membuatkan saya berasa seperti kanak-kanak kecil,” katanya.

Hansen menyertai kru bersama angkasawan Amerika Syarikat (AS), Christina Koch, Victor Glover dan Reid Wiseman.

Mereka dijadualkan mengelilingi bulan awal minggu depan yang turut menyaksikan pencapaian yang tidak dilakukan manusia sejak lebih 50 tahun lalu.

Dalam satu taklimat, semalam, pegawai NASA, Lakiesha Hawkins, memuji gambar yang dirakam oleh komander Wiseman sebagai ‘menakjubkan’.

“Kami terus mempelajari tentang kapal angkasa ini ketika mengendalikannya di angkasa lepas bersama kru buat kali pertama. Penting untuk kita memahami lebih banyak perkara sedikit demi sedikit setiap hari,” katanya.

Misalnya kru ditugaskan semalam, melakukan demonstrasi resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan pemeriksaan kit perubatan, selain persediaan bagi pemerhatian saintifik apabila mereka berada paling hampir dengan bulan pada hari keenam perjalanan.

NASA melaporkan semua sistem berfungsi dengan baik, manakala angkasawan berada dalam ‘semangat tinggi’ serta telah berhubung dengan keluarga masing-masing.

Pencapaian seterusnya bagi misi kira-kira 10 hari ini dijangka berlaku antara esok (Ahad) malam hingga Isnin, apabila kapal angkasa memasuki ‘sfera pengaruh bulan’ keadaan di mana graviti bulan mula mengatasi tarikan bumi.

Jika semuanya berjalan lancar, ketika Orion mengelilingi Bulan, keempat-empat angkasawan berpotensi mencipta rekod sebagai manusia yang berada paling jauh dari bumi dalam sejarah.

“Tiada apa yang biasa mengenai ini. Menghantar empat manusia sejauh 402,366 kilometer (250,000 batu) adalah satu usaha besar dan kini kami benar-benar memahami magnitudnya,” kata angkasa AS, Wiseman.

Misi Artemis II adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk kembali ke bulan secara berkala dengan matlamat mewujudkan pangkalan tetap di sana sebagai platform bagi penerokaan angkasa yang lebih jauh.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top