Nasi Kandaq Fest 3.0 Kembali Dengan Barisan Menu Paling Surrr!

Nasi Kandaq Fest 3.0 Kembali Dengan Barisan Menu Paling Surrr!

Nasi Kandaq Fest 3.0 Kembali Dengan Barisan Menu Paling Surrr!


Untuk kali ketiga, festival makanan kegemaran ramai, Nasi Kandaq Fest bakal menemui orang ramai!

FriedChillies sekali lagi menganjurkan Nasi Kandaq Fest 3.0 dengan kerjasama Datum Jelatek Shopping Centre, yang dijadual berlangsung pada 29 dan 30 November 2025 di pusat beli-belah tersebut bersempena ulang tahun ketiganya.

Edisi kali ini menampilkan sembilan lagenda nasi kandar dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor, menjadikannya barisan vendor paling ‘surrr’ sejak festival ini diperkenalkan.

Penganjuran tahun ini turut mendapat sokongan PRESMA (Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia) serta komuniti Facebook Nasi Kandaq Hunters (NKH).

Festival tahun ini meneruskan kejayaan edisi terdahulu dengan menawarkan pengalaman hujung minggu yang padat dengan hidangan tradisi, demonstrasi masakan, aktiviti komuniti serta hiburan untuk seisi keluarga.

Semuanya berlangsung di Datum Jelatek bagi meraikan detik istimewa ulang tahun ketiga pusat beli-belah berkenaan.

FriedChillies dan NKH memilih sembilan vendor legenda yang mewakili pelbagai gaya nasi kandar, daripada nama-nama besar Pulau Pinang hingga juara Kuala Lumpur dan bintang dari Johor.

Antara jenama yang menyertai festival kali ini ialah Deens Maju di Jalan Gurdwara, Nasi Kandar Kampung Melayu, Pelita Chai Leng Park, Kudu, Hameediyah, LC (Line Clear) Kampung Baru, Nasi Kandaq Talam dari Johor, Nasi Kandar Bawah Pokok serta Ibramsha yang kini beroperasi di lokasi baharu.

Setiap vendor akan membawa lauk istimewa mereka dan menyediakan beberapa sajian eksklusif khas untuk pengunjung festival.

Adly Rizal selaku CEO FriedChillies berkata, mereka bersemangat untuk kembali menemui pencinta nasi kandar.

“Tahun ini kami himpunkan sembilan pilihan terhebat dari Penang, KL dan Johor. Inilah barisan paling padu yang pernah kami persembahkan.

“Kami sangat bersemangat untuk kembali ke Datum Jelatek bagi edisi ketiga ini. Selain menikmati makanan, pengunjung juga mudah ke sini dengan akses LRT, ruang parkir selesa dan kawasan makan yang sesuai untuk keluarga,” katanya.

Sementara itu, CEO Datum Jelatek Shopping Centre, Zetty Rahim berkata pusat membel—belah tersebut mengalu-alukan kedatangan pencinta nasi kandar.

“Datum Jelatek mahu menjadi ruang yang hidup dengan aktiviti budaya dan komuniti. Untuk ulang tahun ketiga, kami inginkan acara yang meraikan warisan tempatan sambil menghubungkan masyarakat. Festival ini memenuhi apa yang kami impikan. Mengumpulkan sembilan lagenda nasi kandar dalam satu venue bukan perkara biasa dan kami teruja untuk menawarkannya kepada pengunjung,” katanya.

PRESMA turut memberikan sokongan penuh di bawah pimpinan Presiden Datuk Mohamed Mosin.

“Nasi kandar bukan sekadar juadah, ia lambang budaya dan identiti masyarakat Muslim-India Malaysia. PRESMA berbesar hati menyokong acara yang mengangkat pengusaha nasi kandar terkemuka dari seluruh negara.

Festival sebegini mengukuhkan tradisi kulinari kita serta menghargai usaha para pengusaha restoran. Kami mengucapkan tahniah kepada FriedChillies dan Datum Jelatek atas penganjuran ini,” katanya.

Komuniti Nasi Kandaq Hunters (NKH) juga kembali memberikan sokongan terhadap festival ini.

“Warga NKH memang tak sabar menyertai festival ini sekali lagi. Sembilan nama yang dipilih bersama FriedChillies menawarkan pilihan terbaik dengan rasa asli.

“Kami mengajak semua ahli turun memeriahkan acara, berjumpa rakan komuniti dan sama-sama menikmati hidangan,” kata Pandai Othman, pengasas dan pentadbir komuniti yang kini mempunyai lebih 275,000 ahli.

Nasi Kandaq Fest 3.0 akan berlangsung pada 29 hingga 30 November 2025 dari 10 pagi hingga 10 malam di Datum Jelatek Shopping Centre, Kuala Lumpur. Pengunjung boleh ke lokasi melalui Stesen LRT Jelatek yang bersambung terus dengan laluan berbumbung ke pusat beli-belah. Ruang parkir dalaman yang luas turut disediakan untuk kemudahan pengunjung.



Source link

OR

Scroll to Top