Nasib tujuh pemain warisan dan FAM akan diketahui pada hujung Februari.
KEPUTUSAN mengenai status rayuan membabitkan tujuh pemain warisan negara serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka bakal terjawab sepenuhnya pada penghujung bulan ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan bahawa proses perbicaraan di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah ditetapkan pada tarikh berkenaan.
“(Persidangan CAS melibatkan kes FAM dan pemain warisan Harimau Malaya) akan berlangsung pada 25 atau 26 Februari depan,” katanya.
Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain naturalisasi didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Tujuh pemain yang terlibat dalam krisis ini ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Berdasarkan siasatan, FAM didakwa mengemukakan dokumen yang dipercayai dipalsukan bagi tujuan pengesahan kelayakan pemain terbabit.
Susulan pelanggaran kod etika itu, FIFA mengenakan hukuman berat dengan mengarahkan FAM membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Setiap pemain terlibat dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
FAM kini meletakkan harapan tinggi terhadap keputusan rayuan di CAS selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum ini menolak permohonan yang dikemukakan mereka.
Ringkasan AI
- Keputusan mengenai status rayuan tujuh pemain warisan negara dan FAM akan diketahui pada penghujung bulan
- Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menyatakan proses perbicaraan di CAS telah ditetapkan
- Persidangan CAS melibatkan kes FAM dan pemain akan berlangsung pada 25 atau 26 Februari
- FAM dan tujuh pemain naturalisasi didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA
- FAM didenda CHF350,000 dan setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 serta digantung daripada aktiviti bola sepak selama 12 bulan





