PEMILIK Kelantan Red Warrior FC (KRW), Nasken Coffee akan mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar kehadiran oleh Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkan syarikat itu membayar baki hutang pembelian saham berjumlah RM440,000 kepada bekas pemilik kelab, Nik Hafiz Naim Nik Hassan.
Permohonan akan difailkan melalui Tetuan Adnan Sharida and Associates selewat-lewatnya pada 7 Mei ini, susulan wujud beberapa perkara yang boleh dipertikaikan antara kedua-dua pihak.
Presiden KRW, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya mahu perkara itu ditangani segera bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham dalam kalangan peminat serta pihak berkepentingan.
Beliau juga menegaskan, netizen dan peminat supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi yang ditularkan sebaliknya memberi tumpuan kepada prestasi pasukan dalam baki perlawanan Liga A1 musim ini.
“Setakat ini, pasukan mengharungi banyak perlawanan dan masih berbaki tujuh dengan pengurusan, kejurulatihan serta prestasi pemain semuanya berada dalam keadaan baik.
Muhammad Zaki (tengah) melihat dokumen penghakiman ingkar kehadiran secara dalam talian. Foto Sinar Harian/Adila Sharinni Wahid
“Isu berkait baki bayaran saham itu biar peguam dan undang-undang yang tentukan, kita fokus kepada misi serta visi KRW FC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Turut hadir, Pengurus Besar Nasken International, Muhammad Baihaqi Mohd Zulkepli.
Sebelum ini, Nik Hafiz Naim selaku plaintif memfailkan saman berkenaan melalui Tetuan Ahmad Haziea and Associates dengan menamakan Nasken Coffee (PM) sebagai defendan pertama dan Nasken International defendan kedua pada Februari lalu.
Dalam pada itu, peguam defendan, Datuk Adnan Seman @ Abdullah menjelaskan bahawa penghakiman bertarikh 6 April lalu tersebut bukanlah keputusan selepas perbicaraan penuh, sebaliknya dibuat kerana pihak mereka sebagai defendan yang tidak hadir dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
“Penghakiman ini boleh diketepikan dan kami akan failkan permohonan.
“Jika dibenarkan mahkamah, kes ini akan dibuka semula dan dibicarakan sepenuhnya dengan mahkamah akan menilai merit tuntutan, termasuk tuntutan balas yang akan dikemukakan oleh Nasken Coffee,” katanya.
Pertikaian antara kedua-dua pihak berlarutan sejak tahun lalu walaupun beberapa pertemuan dibuat selain pertukaran surat rundingan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Antaranya melibatkan penjualan saham KRW Sports and Entertainment milik Nik Hafiz bernilai RM500,000 kepada Nasken Coffee pada 1 Ogos tahun lalu.






