Kecaman terhadap penampilan terbaharu aktres Aprena Manrose yang kini tidak lagi bertudung mendapat perhatian rakan lakonnya, Nazim Othman, yang tampil mempertahankan selebriti berkenaan susulan komen sinis segelintir netizen di media sosial.
Isu itu tercetus selepas tular sebuah video sesi fotografi bagi mempromosikan drama Nur Untuk Ariff gandingan mereka bersama, sekali gus mengundang pelbagai reaksi apabila Aprena dilihat tampil tanpa hijab.
Menerusi ruangan komen sebuah program hiburan, Nazim menyuarakan rasa terkilan melihat respons netizen yang disifatkan terlalu cepat menghukum tanpa memahami situasi sebenar individu terlibat.
Menurutnya, setiap insan mempunyai perjalanan hidup dan ujian yang berbeza, termasuk soal keimanan yang tidak boleh dinilai secara luaran.
“Sejak promosi drama ini dimuat naik, kebanyakan komen lebih tertumpu kepada imej rakan lakon saya.
“Hakikatnya, setiap manusia diuji dengan cara tersendiri. Kami juga ada berbual di set tentang turun naik iman masing-masing,” katanya.
Nazim turut mendedahkan, sebagai rakan seperjuangan dalam industri, mereka sering berbincang mengenai perkara-perkara peribadi termasuk cabaran yang dihadapi, bukan sekadar soal kerjaya.
“Saya sendiri secara peribadi ada rasa bimbang. Pada pandangan saya, dia masih mempunyai pegangan, cuma mungkin sedang melalui fasa yang agak rapuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan menegaskan dia tidak berniat untuk menghalalkan sebarang perkara yang salah, namun berasa sedih melihat komen sinis yang dilemparkan tanpa empati.
“Dia memilih untuk berdiam diri, tetapi apa yang dirasainya hanya Allah yang Maha Mengetahui,” katanya
Dalam masa sama, Nazim menasihati netizen untuk lebih berlapang dada dan mendoakan yang terbaik buat Aprena, berbanding terus menyebarkan kata-kata negatif yang boleh menambahkan tekanan emosi.

Artikel Berkaitan: Muncul Dalam Promo Teaser Drama, Aprena Manrose Kembali Free Hair?
Artikel Berkaitan: Aprena Manrose Akui Pernah Cuba ‘Selamatkan’ Rumah Tangga Ketika Masih Dalam Idah – “Saya Reda, Dekatkan Diri Kepada Allah…”






