September 8, 2024

NBiOSHOWCASE 2024: 15 MoU bernilai RM1.55 bilion dimeterai

NBiOSHOWCASE 2024: 15 MoU bernilai RM1.55 bilion dimeterai


0KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM1.55 bilion yang melibatkan hampir 30 buah syarikat bioteknologi telah dimeterai di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) yang berakhir hari ini.

Majlis menandatangani MOU itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), Mohd. Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, syarikat-syarikat bioteknologi itu  merangkumi syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) yang diberikan sokongan dan fasilitasi daripada Bioeconomy Corporation.

“Daripada jumlah ini, empat memorandum persefahaman melibatkan pihak antarabangsa, iaitu Jepun, Singapura, Indonesia dan Kazakhstan. Ini menunjukkan minat yang tinggi dari pelabur luar negara terhadap potensi dan perkembangan sektor bioteknologi di Malaysia.

“Kejayaan ini bukan sahaja menggambarkan keyakinan komuniti global terhadap keupayaan industri kita tetapi juga memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab bioekonomi yang utama di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat tapak pameran pada Program National Bioeconomy Showcase 2024 di WTC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 JULAI 2024

Mohd. Khairul Fidzal menambah, NBiOSHOWCASE 2024 juga telah menjadi platform untuk pelancaran lima jenis produk oleh syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) dengan sasaran nilai jualan hampir RM400 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

“Bioeconomy Corporation bersama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan bekerjasama dengan lebih erat untuk memaktubkan lebih banyak perjanjian dan persefahaman antara syarikat-syarikat bioteknologi di Malaysia, khususnya dengan syarikat berstatus BioNexus dan BBA,” katanya.

National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) yang berlangsung selama dua hari bermula semalam telah mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelbagai pihak dalam industri bioteknologi yang merancakkan lagi perkembangan industri itu sebagai pemacu ekonomi negara.

Dengan tema Bioekonomi Untuk Semua, acara tersebut juga merupakan platform untuk melahirkan masyarakat bio-inovasi seperti yang digariskan di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0.

Pada majlis pelancaran semalam, Perdana Menteri  telah membuat beberapa pengumuman penting terutamanya Alps Global Holdings Berhad. sebagai unicorn bioteknologi pertama di Malaysia.

Perdana Menteri juga telah memberikan suntukan tambahan RM2 juta daripada kerajaan untuk melaksanakan program dalam mengembangkan industri bioteknologi di Malaysia. – MalaysiaGazette

Sebanyak 15 Memorandum Persefahaman bernilai RM1.55 bilion yang melibatkan hampir 30 buah syarikat bioteknologi telah dimeterai di National Bioeconomy Showcase 2024.



Source link

OR

Scroll to Top