Reuters
Liverpool: Everton mengucapkan selamat tinggal kepada Stadium Goodison Park dengan penuh bergaya apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas Southampton hasil dua jaringan Iliman Ndiaye dalam aksi Liga Perdana Inggeris, hari ini.
Perlawanan itu adalah penampilan terakhir skuad The Toffees di gelanggang keramat itu selepas 133 tahun beraksi di sana, sebelum mereka berpindah ke stadium baharu di Bramley-Moore Dock musim hadapan.
Everton kini mengumpul 45 mata di tangga ke-13 selepas aksi ke-37 musim ini, manakala Southampton yang sudah tersingkir ke Liga Kejuaraan kekal di dasar liga dengan hanya 12 mata.
Suasana penuh air mata dan sorakan menyambut kemasukan pemain tuan rumah ke padang, dan hanya memerlukan enam minit untuk mencetuskan kegembiraan apabila Ndiaye menyudahkan gerakan solo dengan rembatan melengkung ke penjuru bawah gawang.
Penyerang antarabangsa Senegal berusia 25 tahun itu melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan kedua pada masa kecederaan babak pertama, hasil hantaran lintang James Garner yang menewaskan dua pertahanan lawan.
Ndiaye kemudian memperdaya penjaga gol Aaron Ramsdale sebelum menyempurnakan jaringan ke gawang terbuka.
Dengan kehadiran legenda-legenda Everton seperti Tim Cahill, Wayne Rooney dan Duncan Ferguson di tempat duduk penonton, skuad bimbingan David Moyes tampak tidak berdepan masalah mendominasi perlawanan sepenuhnya.
Malah, Everton berpeluang menambah jaringan namun dua gol Beto dibatalkan kerana ofsaid.
© New Straits Times Press (M) Bhd