Malaysia menyasarkan nilai eksport mencecah RM1.6 trilion dalam tempoh dua tahun semasa, meningkat kira-kira lima peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Pelancaran NEA 2025
Reezal Merican berkata, sasaran itu ditetapkan selepas nilai eksport negara bagi tempoh lapan bulan pertama 2025 telah mencapai RM1.03 trilion, sekali gus menunjukkan prestasi memberangsangkan meskipun berdepan cabaran pasaran global.
“Sebelum ini kita capai RM1.5 trilion, jadi tahun ini kita naikkan sedikit kepada RM1.6 trilion. Sasaran ini selari dengan unjuran kerajaan sekitar lima peratus, dan saya harap ia akan direkod,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Anugerah Eksport Negara (National Export Awards, NEA) 2025 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur hari ini.

Reezal Meerican (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz pada sidang media selepas melancarkan NEA 2025 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, pelancaran NEA 2025 merupakan langkah penting MATRADE dalam menyokong strategi eksport jangka sederhana dan panjang negara, selaras dengan transformasi ekonomi global yang semakin pantas.
“Kita tak boleh bergantung pada perancangan jangka panjang semata-mata. Sekarang, strategi perlu fleksibel, gabungkan perancangan jangka sederhana dan panjang supaya kita kekal tangkas,” ujarnya.
Anugerah berprestij itu akan mengiktiraf pengeksport cemerlang dalam beberapa kategori termasuk syarikat multinasional (MNC), syarikat besar tempatan (LLC), mid-tier companies, Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) serta kategori khas bagi wanita, belia dan Bumiputera.
Beliau turut mendedahkan bahawa pemenang anugerah berpotensi menerima insentif khas, antaranya penyertaan percuma dalam pameran dagangan antarabangsa anjuran MATRADE, sebagai galakan memperkukuh jenama Malaysia di pasaran global.
Dalam masa sama, Reezal Merican menegaskan bahawa industri halal perlu dilihat lebih luas daripada sekadar sektor makanan, sebaliknya merangkumi keseluruhan ekosistem termasuk pembungkusan, logistik dan kontena eksport yang mesti bebas daripada kontaminasi tidak halal.
“Halal bukan hanya makanan. Bahan mentah, pembungkusan, malah kontainer yang digunakan untuk penghantaran juga mesti halal. Kalau bercampur dengan yang haram, ia tak lagi dianggap halal,” jelasnya.
Beliau menambah, Malaysia kini diiktiraf sebagai peneraju global dalam industri halal melalui kerjasama erat antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Halal Development Corporation (HDC) dan MATRADE dengan rangkaian 48 pejabat perdagangan luar negara membantu memperluas pasaran halal tempatan.
Reezal Merican turut menekankan pentingnya agenda pendigitalan dan kelestarian, termasuk pelaksanaan MADANI Digital Trade (MDT) yang membolehkan pengesanan (traceability) produk dan pematuhan terhadap piawaian Sustainable Development Goals (SDG), keperluan utama negara-negara maju seperti Jepun, China dan Eropah.
Artikel lain: Thailand minat produk Malaysia, lawatan PM Anwar jana potensi eksport RM1.07 bilion – MITI
Mengulas strategi promosi baharu MATRADE, beliau menjelaskan bahawa slogan “Bridging the World” menggantikan “Choose Malaysia”, sebagai tanda perubahan pendekatan dalam diplomasi perdagangan.
“Kita bukan sekadar mahu orang pilih Malaysia, tapi mahu jadi jambatan membuka dua hala. Kita bantu produk Malaysia ke luar dan pada masa sama, buka ruang rakan dagang antarabangsa ke pasaran kita,” katanya.
NEA 2025 memperkenalkan tujuh kategori utama bagi mengiktiraf kecemerlangan syarikat pengeksport Malaysia merangkumi pelbagai saiz dan latar demografi.

Reezal Merican (empat dari kanan) bersama tetamu kehormat ketika melancarkan NEA 2025 di Menara MATRADE, Kuala Lumpur hari ini.
Kategori tersebut ialah Pengeksport Terbaik iaitu Syarikat Besar, Syarikat Multinasional dan Syarikat Pertengahan selain empat kategori khas bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), PKS Pengeksport Terbaik iaitu Kemunculan Baharu, Bumiputera, Belia, dan Wanita.